Karnival Ban Canal 2024 Meriahkan Inisiatif Ekopelancongan Sabak Bernam Sambut Hampir 19,000 Pengunjung
SABAK BERNAM, 1 DISEMBER 2024 (AHAD) – Karnival Ban Canal 2024 melabuhkan tirainya hari ini dengan menyerlahkan lagi reputasi Sabak Bernam yang pesat berkembang sebagai hab ekopelancongan dan pusat komuniti di bawah inisiatif Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA) yang diperkenalkan Kerajaan Negeri Selangor. Karnival tahunan ini berjaya menarik hampir 19,000 pengunjung, mencerminkan minat yang semakin meningkat terhadap keindahan semula jadi dan warisan budaya kawasan ini.
Karnival selama enam hari bermula pada 26 November anjuran Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI), Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam, serta Majlis Daerah Sabak Bernam ini dilancarkan oleh DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah. Sepanjang penganjuran Karnival Ban Canal 2024, acara ini menampilkan pelbagai aktiviti menarik seperti sukan air serta pameran hasil tempatan dan tradisi masyarakat setempat. Daripada perlumbaan bot yang mendebarkan hingga pertandingan memancing dan larian kreatif bertemakan kostum di tengah sawah padi, karnival dengan penuh warna-warni ini menonjolkan hubungan erat komuniti dengan tanah dan air yang menjadi jiwa serta identiti unik Sabak Bernam.
YB Dato’ Ng Suee Lim, Timbalan Pengerusi SABDA merangkap EXCO Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Selangor, yang menyempurnakan perasmian penutup Karnival Ban Canal 2024 berkata “Acara ini mencerminkan komitmen kami untuk mengimbangi aspek pembangunan ekonomi dengan pemuliharaan alam sekitar.
SABDA bukan sekadar tentang menarik pelaburan baharu, malah ia juga digagaskan untuk memperkukuhkan komuniti, memacu inovasi dalam sektor pertanian dan perikanan, serta memastikan masa depan Sabak Bernam yang berdaya tahan dengan menghargai rakyat dan khazanah buminya.”

SABDA merupakan komponen penting dalam pelan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) Kerajaan Negeri Selangor untuk menjadikan Sabak Bernam sebagai hab serantau dalam ekopelancongan dengan memanfaatkan kekayaan biodiversiti serta warisan budayanya. Di samping itu, SABDA juga menyokong pembangunan industri makanan laut dan pertanian, dengan matlamat menarik pelaburan baharu yang bakal mencipta ribuan peluang pekerjaan, meningkatkan taraf hidup penduduk setempat, serta memperkukuhkan keterjaminan makanan negeri Selangor.
Sebagai sebahagian daripada visi ini, MBI Selangor bertekad untuk memperkasakan komuniti melalui inisiatif yang digerakkan oleh penyelidikan dan teknologi. Dengan memanfaatkan pendekatan Perkongsian Awam-Swasta, usaha ini disasarkan untuk memperkukuhkan pembangunan kemahiran, membolehkan petani dan nelayan mengguna pakai amalan yang inovatif dan lestari, serta memastikan kelangsungan perniagaan sambil memelihara kelestarian alam sekitar.
“Kami amat berbangga menyaksikan perkembangan Karnival Ban Canal menjadi salah satu acara terpenting dalam kalendar pelancongan Selangor. Dengan peningkatan penyertaan saban tahun, kami yakin festival ini akan menjadi tarikan utama yang menyemarak Tahun Melawat Selangor 2025, sekali gus memperkukuhkan Sabak Bernam sebagai destinasi pelancongan pilihan,” tambah YB Dato’ Ng Suee Lim.

Dengan 23 aktiviti menarik telah disusun, melibatkan penyertaan hampir 3,000 peserta, karnival tahun ini mendapat sokongan padu daripada Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam, Majlis Perbandaran Sabak Bernam, serta rakan strategik dan penaja lain termasuk Tenaga Nasional Berhad, RHB Banking Group, Agrobank, Maxis, dan Cyberview. Inisiatif ini berperanan sebagai platform penting untuk mengukuhkan
hubungan komuniti sambil menonjolkan komitmen Sabak Bernam dalam menghargai dan memelihara warisan khazanahnya. Karnival Ban Canal yang merangkumi pertandingan, pameran, dan persembahan ini mengetengahkan kepentingan tradisi tempatan, sekali gus mencerminkan hubungan erat kawasan ini dengan alam semula jadi serta nilai kemasyarakatan yang tinggi.

Kejayaan Karnival Ban Canal 2024 menjadi bukti nyata aspirasi besar SABDA serta sokongan tidak berbelah bahagi daripada rakan strategiknya. Sabak Bernam kini melangkah maju, bukan sekadar sebagai destinasi pelancongan, malah sebagai pemangkin transformasi ekonomi tempatan. Menerusi pendekatan holistik SABDA yang mengutamakan kesejahteraan komuniti, keterjaminan makanan, dan penjagaan alam sekitar, daerah ini berpotensi muncul sebagai hab pembangunan pesat dan berdaya saing.