
Karim Benzema Dilapor Tolak Pelawaan Presiden Perancis, Tak Mahu Hadir Di Final Piala Dunia
Bintang bola sepak Perancis, Karim Benzema dilaporkan telah menolak jemputan daripada Presiden Perancis, Emmanuel Macron untuk menghadiri perlawanan akhir Piala Dunia Qatar 2022.
Memetik laporan ESPN, Benzema mengalami kecederaan paha beberapa hari sebelum perlawanan pertama Perancis dalam pertandingan itu sekaligus menjadi faktor dirinya pulang awal pada edisi kali ini.
Pun begitu, Benzema telah diberi peluang untuk menyertai sebuah pesawat yang turut dinaiki oleh Presiden Perancis untuk berangkat ke Doha bagi menonton perlawanan akhir dan menyokong pasukannya.
Beberapa pemain lain seperti Laurent Blanc, Zinedine Zidane dan Michel Platini dipercayai turut sama menolak jemputan itu.
Bukan itu sahaja, Lucas Hernandez yang juga cedera semasa perlawanan pertama menentang Australia terdahulu tidak akan berada di stadium tersebut.
Menerusi satu sidang akhbar, pengurus pasukan Perancis, Didier Deschamps turut berkata bahawa dia tidak mahu terlibat dengan sebarang kontroversi.
“Ada pemain yang cedera dan Karim adalah salah seorang daripada mereka. Sejak itu, saya mempunyai 24 pemain untuk dijaga.
“Untuk bertanya soalan mengenai pemain-pemain ini, saya berasa amat kekok. Saya tidak berurusan dengan jemputan pemain, bekas pemain atau pemain yang cedera. Saya tidak tahu siapa yang akan berada di sana,” katanya.
Pada Jumaat lalu, Benzema telah berkongsikan satu gambar di halaman Instagram miliknya dengan perkataan “Saya tidak berminat”, yang berkemungkinan besar merujuk kepada jemputan itu.
Bagaimanapun, ada sumber lain yang turut menyatakan bahawa Benzema menyokong kuat pasukannya dan mahu mereka memenangi gelaran juara yang sedikit sebanyak akan menjadi miliknya juga.
Benzema masih lagi menjadi sebahagian daripada skuad Perancis secara rasmi di Piala Dunia kerana dia masih belum digantikan.
Bagaimanapun, Paul Pogba, N’golo Kante, Presnel Kimpembe dan Christopher Nkunku dipercayai akan berada di stadium bersama Macron serta isterinya, Brigitte.
Bukan itu sahaja, juara olimpik judo, Teddy Riner dan bekas pemain antarabangsa Perancis tahun 1980-an, Alain Giresse turut sama-sama bakal menyaksikan perlawanan tersebut.
Sumber: ESPN