Sebuah kapal selam berkuasa nuklear milik tentera Amerika Syarikat (AS) dilaporkan telah terlanggar sebuah objek yang tidak dikenali di bawah Laut China Selatan pada Sabtu, lapor CNN.
Menurut kenyataan dari Tentera Laut AS, terdapat sebilangan krew kapal yang mengalami kecederaan ekoran daripada insiden itu.
Walaupun begitu, tiada kecederaan yang sehingga mengancam nyawa dilaporkan.
Tambah kenyataan itu, tidak dapat dijelaskan berkenaan objek apakah sebenarnya yang dilanggar kapal selam kelas Seawolf tersebut ketika ianya sedang menyelam.
“Kapal Selam berkenaan masih dalam keadaan selamat dan stabil.
“Loji pemacu nuklear USS Connecticut juga tidak terjejas dan masih boleh beroperasi sepenuhnya. Insiden itu akan disiasat,” ujar kenyataan tersebut.
Tentera Laut AS tidak memperincikan lokasi sebenar kejadian itu berlaku.
Namun menurut CNN, kejadian tersebut berlaku di perairan antarabangsa di wilayah Indo-Pasifik.
Sumber: CNN