Kapal perang utama Armada Laut Hitam Rusia dilapor mengalami kerosakan teruk akibat daripada letupan simpanan senjata, menurut kenyataan yang diterbitkan oleh media rasmi Rusia pada Khamis.
”Akibat daripada kebakaran, simpanan senjata kapal cruiser peluru berpandu Moskva telah meletup. Ia menyebabkan kapal mengalami kerosakan yang teruk,” kata kenyataan tersebut.
Kenyataan yang sama turut memaklumkan bahawa punca kebakaran berkenaan berjaya dikenal pasti dan semua anak kapal berjaya diselamatkan.
Terdahulu, Gabenor Odessa mendakwa peluru berpandu yang dilancarkan oleh Tentera Ukraine dari wilayah itu berjaya mengenai kapal tersebut.
”Peluru berpandu Neptune yang melindungi Laut Hitam berjaya menghentam kapal perang Rusia. Kejayaan untuk Ukraine,” dakwa gabenor berkenaan dalam satu saluran telegram.
Dalam pada itu, Penasihat Perdana Menteri Ukraine, Oleksiy Arestovych dilapor berkata ”sesuatu yang mengejutkan” sedang berlaku pada kapal perang Moskva.
”Ia sedang terbakar dengan teruk. Dengan keadaan laut yang bergelora, tidak pasti bagaimana mereka hendak diselamatkan.
”Kami tidak tahu apa yang sedang berlaku”, kata beliau dalam satu siarang langsung di Youtube.
Kapal perang Moskva adalah kapal yang dibina pada era Soviet di bandar Mykolaiv, Ukraine dan memasuki perkhidmatan sekitar tahun 80-an.
Dengan kekuatan kru 510 orang, kapal ini pernah terlibat dalam konflik di Syria dimana ia memberikan perkhidmatan perlindungan laut kepada pangkalan tentera Rusia di Hmeimim.
Moskva dilengkapi dengan 16 peluru berpandu anti kapal P-1000 Vulkan dan pelbagai lagi torpedi anti kapal selam dan mini torpedo yang lain.
Penglibatan kapal ini dalam konflik dengan Ukraine mencuri tumpuan apabila dikerah ke Pulau Ular untuk mengugut tentera Ukraine yang mengawal pulau berkenaan supaya menyerah diri.
Askar-askar berkenaan dilapor enggan menyerahkan pulau tersebut dan laporan awal menyebut mereka semua terbunuh dalam pertempuran.
Bagaimanapun, berita berkenaan kemudian dilaporkan tidak tepat dan kesemua askar Ukraine tersebut telah menyerah diri kepada Rusia.
Parlimen Ukraine juga mengesahkan askar-askar tersebut telah dibebaskan dalam satu rundingan pertukaran tahanan dengan Rusia.
Sumber: AFP