
Memetik laporan daripada Dailymail, Pengarah urusan yang berpangkalan di Tallin, Vista Shipping Agency, Igor Ilver berkata kejadian tersebut telah menyebabkan empat anak kapal masih hilang manakala dua lagi yang terselamat berada di dalam sebuah bot kecemasan selepas letupan itu berlaku.
Tambahnya lagi, kapal tersebut akhirnya tenggelam selepas berlaku letupan di tengah laut tersebut dan kedudukan anak kapal yang hilang itu masih belum dapat dikenal pasti lagi.
Sementara itu, penjelasan rasmi berkenaan kejadian yang berlaku masih belum dikeluarkan. Namun begitu, kapal itu difahamkan berkemungkinan telah melanggar periuk api yang dipasang di laluan berkenaan.

Kapal kargo Estonia bernama Helt yang berusia 37 tahun ini dilaporkan berlayar menggunakan bendera Panama, sama seperti kapal kargo lain berbuat sedemikian dengan tujuan untuk mengelak daripada undang-undang ketat yang dipakai di negara mereka sendiri.
Armada Laut Hitam Rusia dilaporkan telah dituduh menggunakan kapal awam termasuk Helt sebagai perisai dalam pencerobohan Ukraine.
Pihak tentera Ukraine mendakwa bahawa kapal Helt telah dipaksa memasuki zon berbahaya di Laut Hitam oleh Rusia untuk berselindung bagi membolehkan kapal perang mereka dikesan.
BACA: (Video) Loji Nuklear Terbesar Eropah Terbakar, 10 Kali Lebih Dahsyat Dari Chernobyl Jika Meletup
Angkatan bersenjata Ukraine berkata, demi keselamatan pelayaran awam, tentera laut Ukraine telah menutup beberapa laluan di perairan bahagian utara-barat Laut Hitam.
Pada masa yang sama, Armada Laut Hitam Rusia dikatakan masih meneruskan taktik tentera darat mereka yang cuba bersembunyi disebalik nyawa orang awam.
Insiden itu dilaporkan berlaku sehari selepas kapal kargo milik Bangladesh terkena peluru berpandu atau bom di pelabuhan Laut Hitam Olvia. Kejadian tersebut dilaporkan telah mengorbankan salah seorang anak kapal itu.

Sehubungan itu, banyak kapal kargo yang telah membatalkan pelayaran mereka ke pelabuhan Laut Hitam dan terminal lain di Ukraine sejak beberapa hari kebelakangan ini.
Sumber: Dailymail