Indonesia mengarahkan empat kapal perang tambahan ke Pulau Natuna selepas kapal milik China enggan meninggalkan kawasan itu.
Kapal perang tersebut akan menyertai empat kapal lain yang sedang meronda di kawasan Natuna berhampiran Laut China Selatan yang menjadi pertikaian.
“Kami sudah mempunyai empat kapal perang di sana, jadi esok akan ada lapan kapal perang di perairan.

“Kami juga mempunyai beratus-ratus orang pegawai di sana,” kata Pegawai Hal Ehwal Awam dengan Komando Armada Pertama Angkatan Laut Indonesia, Komander Fajar Tri Rohadi.
Puluhan bot nelayan China memasuki perairan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) Indonesia di Natuna bulan lalu. Kementerian Luar Indonesia juga telah memanggil duta besar China di Jakarta dan menyuarakan protes.
Beijing menegaskan bahawa perairan Natuna adalah kawasan perikanan tradisional untuk nelayan China.
Menurut Komander Rohadi, Lembaga Kawalan dan Keselamatan Maritim Indonesia (BAKAMLA) juga meronda kawasan tersebut. Mereka telah mendekati kapal China dengan berkomunikasi melalui radio.
“Kami berharap mereka akan pergi. Bot nelayan memancing secara haram. Jika mereka tidak pergi, kami mahu memujuk mereka supaya mereka memahami undang-undang Indonesia. Ia adalah hak berdaulat Indonesia,” kata Rohadi.
Beliau juga berkata terdapat kapal nelayan China di sekitar 30 lokasi yang memperlihatkan di setiap tempat terdapat dua bot. Tiga kapal pengawal China juga dilihat di kawasan itu.
Minggu lalu, Menteri Luar Negeri, Retno Marsudi, mengeluarkan kenyataan yang menyatakan berlakunya pencerobohan oleh kapal China di EEZ Indonesia.
Sumber: Channel News Asia