
Kuala Lumpur, Malaysia, 14 Jun 2022 – Wanita memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi dan menyumbang kepada pembangunan negara. Menurut statistik yang diterbitkan pada bulan Ogos 2020 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, tahap penyertaan wanita Malaysia dalam pasaran buruh meliputi 55.2 peratus, manakala kira-kira 20% daripada jumlah keseluruhan 650,000 usahawan yang berdaftar di negara ini terdiri daripada kaum wanita.
Memandangkan peranan kritikal yang dimainkan oleh wanita dalam ekonomi negara, KAO Laurier Malaysia telah melancarkan ‘Laurier School of Confidence’ atau ‘Akademi Keyakinan Laurier’, iaitu siri pemerkasaan yang bertujuan menambah baik program pengayaannya yang sedia ada untuk pelajar remaja perempuan di sekolah-sekolah menengah di seluruh Malaysia. KAO Laurier Malaysia menyumbang sejumlah RM72,000 kepada graduan Akademi Keyakinan Laurier yang diberikan menerusi akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) atau juga dikenali sebagai Simpan SSPN Prime. Usaha ini bertujuan menyokong agenda Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk menerapkan budaya menabung sebagai persiapan untuk pengajian tinggi.
“KAO Laurier Malaysia menekankan bahawa seorang gadis yang cantik merupakan individu yang termaklum, diperkasa dan yakin. Berasaskan program ESG jangka panjang kami di sekolah-sekolah, kami memahami keperluan gadis remaja dalam usaha membina keyakinan diri. Pada hari ini, kami amat teruja untuk memperkenalkan program baharu dalam aktiviti ESG kami untuk sekolah-sekolah, iaitu siri ‘Akademi Keyakinan Laurier’ yang memanfaatkan pengalaman wanita muda yang menginspirasi dari segenap lapisan hidup. Mereka akan berkongsi pengalaman dan kemahiran hidup yang boleh dimanfaatkan dan diguna pakai oleh para remaja perempuan untuk mengharungi cabaran hidup dan mencapai potensi penuh dalam diri masing-masing,” kata Presiden KAO (Malaysia), Itou Hirofumi.
Siri ‘Akademi Keyakinan Laurier’ merangkumi lima modul video yang penuh maklumat dengan lima topik kontemporari yang disampaikan oleh wanita-wanita muda Malaysia yang telah berusaha gigih untuk mencapai impian masing-masing. Siri ini bertujuan memberi inspirasi kepada gadis-gadis remaja untuk melangkah maju menjadi wanita bercita-cita tinggi dan yakin yang memainkan peranan aktif menyumbang kepada masyarakat dan membina negara.

Berikut ialah topik-topik video dan barisan penyampainya :
1) “Dreaming and living out your passions” (Mengejar dan mencapai impian) oleh Maryam Mahmud, peluncur ais bebas dan adiknya Marina Mahmud, Bekas Ketua Pasukan Pasukan Sorak D*Starz SMK (P) Sri Aman;
2) “Women entrepreneurs” (Usahawan wanita) oleh Gabriena Lee, Pengasas Bersama Glampot, butik barangan mewah terpakai pereka;
3) “Empowering more females in STEM” (Memperkasakan lebih ramai wanita dalam bidang STEM) oleh Premalatha Selvaraj, guru dan satu-satunya rakyat Malaysia yang memenangi anugerah pembimbing bertauliah Google Innovator Academy 2021;
4) “Women in healthcare” (Wanita dalam bidang penjagaan kesihatan) oleh Dr Syazana Ali, Doktor Rawatan Kesihatan Utama dan Pengasas NobleDr+; dan
5) “Grooming and body positivity” (Mendandan diri dan menyemai sikap positif terhadap badan anda) oleh Nalisa Alia Amin, penggiat sikap positif terhadap badan dan Peragawati Fesyen.
Siri ‘Akademi Keyakinan Laurier’ bertujuan memberi inspirasi dan membina semangat kepada lebih daripada 168,000 remaja perempuan di sekolah-sekolah menengah di seluruh Malaysia dalam tempoh 12 bulan akan datang, dari Jun 2022 hingga Jun 2023. Fasa Satu siri ini akan dimulakan di sekolah-sekolah di kawasan tengah, dengan rancangan untuk meluaskan siri ke lima lagi kawasan iaitu, selatan dan utara, pantai timur dan juga Sabah dan Sarawak.
Siri ‘Akademi Keyakinan Laurier’ terbuka kepada peserta yang terlibat dalam program pendidikan kesihatan menstruasi yang dilaksanakan di dalam talian di lebih daripada 290 sekolah di kawasan tengah. Di samping menimba kemahiran hidup yang amat berharga, peserta juga berpeluang memenangi RM1,500 setiap seorang dalam bentuk dana pendidikan menerusi akaun Simpan SSPN Prime.
Simpan SSPN Prime adalah satu produk simpanan pelajaran dibawah naungan PTPTN di mana bertepatan dengan syariah dan dijamin oleh kerajaan. Dalam usaha untuk mempromosi dan memupuk sikap cintakan menabung dalam kalangan ibu bapa dan juga penyimpan muda, pemegang akaun akan menikmati dividen yang tinggi, serta perlindungan takaful percuma bagi baki simpanan yang berjumlah RM1,000 ke atas.
“PTPTN, sebagai tabung pendidikan utama di Malaysia, mengalu-alukan inisiatif KAO Laurier Malaysia untuk memupuk budaya menabung di kalangan remaja. Literasi kewangan terutamanya untuk simpanan pendidikan merupakan salah satu aspek kritikal yang perlu ditekankan kepada remaja dan para ibu bapa di saat kenaikan kos pendidikan setiap tahun. PTPTN mengalu-alukan serta amat menghargai kolaborasi ini, dan harapan kami adalah supaya lebih banyak agensi-agensi yang akan memilih Simpan SSPN sebagai insentif dalam program yang diadakan,” kata Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid.
Sambil menekankan pendirian KAO Laurier Malaysia terhadap kepentingan pendidikan, Itou berkata, “Pendidikan membolehkan seseorang insan keluar daripada kepompong kemiskinan dan kami gembira untuk melihat bahawa bilangan pelajar wanita dalam institusi pengajian tinggi terus meningkat setiap tahun. Memandangkan bagi kumpulan masyarakat tertentu, terutamanya golongan B40, bukan mudah bagi anak-anak mereka melanjutkan pengajian ke menara gading, menyokong wawasan PTPTN untuk menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia menabung lebih awal untuk membiayai pengajian tinggi. KAO Laurier Malaysia mengalu-alukan peluang untuk melibatkan diri dalam usaha mendidik dan meningkatkan tahap penjagaan kebersihan diri di sekolah- sekolah di seluruh Malaysia dan berbangga untuk memainkan peranan kecil tetapi bermakna memperkasakan para peserta layak dalam siri ‘Akademi Keyakinan Laurier’ untuk memulakan dana simpanan pendidikan mereka.”
Menerusi program Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) jangka panjang yang dilaksanakan, KAO Laurier Malaysia telah menjadi teman setia remaja perempuan di Malaysia selama 27 tahun, iaitu sejak 1994, dengan usaha untuk menyokong dan mendidik mereka tentang penjagaan kebersihan wanita. Setakat ini, KAO Laurier Malaysia telah mempunyai penyertaan lebih dua juta pelajar, dari lebih 8,000 sekolah menerusi program ini.
Untuk maklumat lanjut tentang KAO Laurier Malaysia, ikuti @KaoLaurier di Facebook dan @lauriermy di Instagram.