Kanak-Kanak Perempuan Maut Jatuh Dari Tingkat 29 Kediaman Pengasuh
KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) — Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun maut selepas dipercayai jatuh dari tingkat 29 kediaman pengasuhnya di sebuah kondominium di Puchong dekat sini, semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya Supt Mohd Fairus Jaafar berkata pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu pada 12.30 tengah hari.
“Hasil pemeriksaan menemukan mangsa dalam keadaan terlentang di atas lantai tingkat lima bangunan tersebut dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Fairus berkata siasatan awal mendapati mangsa dipercayai memanjat tingkap bilik sebelum terjatuh, dan tingkap tersebut tidak dipasang jeriji keselamatan.
Beliau berkata setakat ini, tiada unsur jenayah dikenal pasti dalam kejadian itu, dan polis telah mengambil keterangan daripada pengasuh untuk membantu siasatan.
Siasatan awal katanya mendapati ketika kejadian, ibu mangsa sedang menjaga seorang lagi anak yang menjalani kuarantin di rumah mereka, manakala bapa kanak-kanak berkenaan tiada di rumah kerana bekerja.
Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
BACA: AKPS Tolak Kemasukan 112 Warga Asing Di KLIA
BACA: Lelaki Cemas, Kereta Diserang Gajah Di Jalan Raya Timur Barat
BACA: Azalina Cadang Pertimbang Umur Persaraan Dinaikkan Kepada 65 Tahun
Sumber: BERNAMA