kanak-kanak maut digilis
Gambar: Sinar Harian

Kanak-kanak Maut Digilis, Cuba Tahan Kereta Berundur

Iqbal Yasir

Seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun dilapor maut digilis ketika cuba menghentikan sebuah kereta yang sedang berundur, lapor Sinar Harian.

Merujuk laporan, kejadian tragis itu berlaku dalam satu kejadian kira-kira pukul 2:15 petang di Kampung Keledang Luar Tawar di Baling, Kedah pada Sabtu baru-baru ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat, segalanya berlaku ketika bapa dan nenek kanak-kanak tersebut tiada di rumah waktu kejadian.

Malah ketika itu, mangsa bersama adik-beradik lain yang berumur antara tujuh hingga 15 tahun dijaga oleh bapa saudara mereka yang juga bekerja sebagai pemandu ambulans swasta.

Difahamkan, pada awalnya mangsa (kanak-kanak terbabit) bermain di dalam kereta jenis Proton Wira milik keluarganya dan turut menurunkan brek tangan.

Bagaimanapun menurut Sinar Harian, kenderaan tersebut bergerak mengundur ke belakang, sekaligus membuatkan mangsa bergegas keluar dan menahannya daripada bergerak.

“Sebelum kejadian, lelaki berkenaan (bapa saudara) ada ternampak mangsa bersama adik lelakinya berusia tujuh tahun bermain di luar rumah sementara dia sedang bersiap-siap untuk ke tempat kerja,” katanya, memetik Sinar Harian.

Namun tidak lama kemudian, lelaki berusia 29 tahun itu terdengar jeritan anak- anak saudaranya yang menyatakan mangsa telah berada di bawah kereta.

“Dia bergegas keluar dan mendapati anak saudaranya itu tersepit di bawah kenderaan lalu menolak kenderaan ke hadapan sementara adik beradik mangsa cuba menariknya keluar,” katanya.

Menurut saksi, kereta tersebut berundur ke belakang selepas mangsa menurunkan brek tangan hingga membuatkannya panik dan bertindak menahan kenderaan tersebut sebelum digilis.

“Mangsa yang panik kemudian bertindak menahan kereta daripada bergerak sebelum digilis di belakang kereta,” katanya.

Hasil siasatan mendapati kereta tersebut diparkir di bawah beranda dengan permukaan cerun hingga ke laman rumah.

“Mangsa yang dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim oleh bapa saudaranya itu dilaporkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital akibat mengalami pendarahan di bahagian kepala serta patah tulang tengkorak.

“Mayat mangsa telah dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah pada Ahad untuk tujuan bedah siasat,” katanya.

Menurut Shamsudin, kes disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak.

Sumber: Sinar Harian