KEPALA BATAS, 11 April (Bernama) — Seorang kanak-kanak lelaki meninggal dunia selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandu bapanya hilang kawalan kerana tayar pecah sebelum melanggar besi pembahagi jalan di Kilometer 124 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata mangsa berusia dua tahun, Iman Naufal Mohd Firdaus yang duduk di kerusi penumpang belakang meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dalam kemalangan kira-kira 7.45 malam.
“Siasatan awal mendapati, pasangan suami isteri dan tiga anak mereka termasuk mangsa dalam perjalanan pulang ke Perlis dari Seberang Jaya, dekat sini kerana datuk kepada kanak-kanak tersebut sakit.
“Kereta MPV jenis Nissan Livina itu dinaiki lima sekeluarga yang dipandu bapa si mati berusia 33 tahun dan ketika memandu, tiba-tiba tayar kiri bahagian belakang MPV itu pecah menyebabkan pemandu hilang kawalan sebelum melanggar besi pembahagi jalan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata kemalangan itu menyebabkan kanak-kanak lelaki tersebut mengalami kecederaan parah pada kepala sebelum meninggal dunia manakala dua kakaknya berusia lima dan tujuh tahun serta ibu dan ayah mengalami kecederaan ringan.
Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk dibedah siasat manakala ahli keluarganya yang lain masih dirawat di hospital yang sama.
Sumber: BERNAMA