KEPALA BATAS, 28 Julai — Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun ditemukan lemas dalam tali air di belakang rumahnya dipercayai terjatuh ketika bermain basikal di Permatang Buloh, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata mayat murid Tadika Kemas Permatang Buloh, Firash Muhamad Darwisy Azlan ditemukan dalam tali air sedalam kira-kira dua meter itu oleh penduduk kampung pada 6.30 petang.
“Kanak-kanak itu keluar dari rumah untuk bermain dengan menunggang basikal pada pukul 4 petang dan sejam setengah selepas itu kakaknya yang berumur 21 tahun menyedari adiknya tiada di kawasan belakang rumah sebelum keluar mencari mangsa,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata wanita itu mencari di sekitar kawasan tali air sebelum ternampak selipar adiknya terapung, namun mangsa serta basikalnya tiada dan dipercayai telah terjatuh ke dalam tali air tersebut.
Katanya, kakak mangsa meminta bantuan penduduk kampung untuk mencari adiknya sebelum seorang penduduk menemui kanak-kanak itu di dasar tali air tersebut dan disahkan telah meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang tiba di lokasi kejadian.
“Kanak-kanak itu tinggal bersama kakak dan neneknya semasa kejadian kerana ibu serta ayahnya bekerja. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk bedah siasat,” katanya.
— BERNAMA