TAWAU, 22 Julai (Bernama) — Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang dilaporkan hilang semalam, ditemukan lemas di kawasan sungai Kampung Kuala Apas di sini, tengah hari tadi.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah dalam kenyataan memaklumkan mangsa ditemukan pada 12.25 tengah hari oleh pasukan bomba yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dalam radius satu kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
“Berdasarkan laporan, mangsa dipercayai hilang semasa keluar dengan ibunya. Mayat kanak-kanak itu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan pengecaman mayat disahkan ahli keluarga,” menurut kenyataan itu.
Menurut bomba, operasi SAR diaktifkan mulai 9.43 malam tadi namun ditangguhkan pada 11.36 malam sebelum disambung pada 9.17 pagi tadi.
Operasi turut melibatkan kerjasama Polis Diraja Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta bantuan penduduk kampung.
Sumber: BERNAMA