NIBONG TEBAL, 20 Nov – Seorang wanita berdepan detik cemas apabila anak lelakinya berusia setahun empat bulan terperangkap dalam kereta yang terkunci hampir sejam di dalam garaj rumahnya di Taman Widuri, Sungai Jawi di sini hari ini.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Nibong Tebal Mohd Awis Kharni Abdul Rahman berkata sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada ibu kanak-kanak itu pada pukul 4.58 petang.
“Sebaik tiba kami mendapati seorang kanak-kanak lelaki berada di dalam kereta Proton Saga BML yang terletak di garaj dan kanak-kanak itu berada dalam keadaan ketakutan. Menurut ibunya, kanak-kanak itu telah terperangkap hampir sejam dalam kereta.
“Kami terus memecahkan cermin kereta bahagian penumpang kerana mangsa tidak boleh membuka sendiri kunci dari dalam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata sebelum kejadian, keluarga itu ingin keluar berjalan-jalan dan wanita berkenaan meletakkan anaknya terlebih dahulu di dalam kereta, namun kenderaan itu terkunci secara automatik sehingga menyebabkan anaknya terperangkap.
Mohd Awis berkata kanak-kanak itu kemudiannya dihantar ke Hospital Sungai Bakap untuk pemeriksaan lanjut sebaik.
— BERNAMA