KUALA TERENGGANU, 3 Julai (Bernama) — Kanak-kanak berusia lapan tahun, Muhammad Saiful Aiman Mohammad, yang hilang sejak dua hari lepas kerana mengikut wanita yang dikenalinya dan bukan diculik, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu ACP Razmi Mohd Gunnos.
Katanya, Muhammad Saiful Aiman didapati dibawa ke Narathiwat, Thailand oleh seorang wanita berusia 60-an, warga Thailand yang bekerja bersama ibu Muhammad Saiful Aiman sebagai penyiang ikan dan telah lama tinggal di Besut.
“Dialah yang membawa Muhammad Saiful Aiman ke rumahnya di Narathiwat dan hasil maklumat awam, mangsa telah ditemui di Pengkalan Kubur. Kanak-kanak itu dibawa pulang oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut, tengah hari tadi,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, di sini hari ini.
Razmi berkata beliau percaya individu itu membawa mangsa masuk ke Narathiwat melalui bot.
Katanya meskipun didapati kanak-kanak itu tidak mengalami sebarang kecederaan, Muhammad Saiful Aiman yang juga anak ketiga daripada empat beradik itu tetap perlu menjalani pemeriksaan di hospital.
“Setakat ini, yang kita lihat budak ini dalam keadaan sihat pada fizikalnya tetapi kena hantar juga untuk pemeriksaan kesihatan dan jika ada kecederaan lain.
“Saya percaya kes ini hanya disebabkan salah faham kerana mangsa tidak memaklumkan kepada ibunya untuk pergi bersama rakan sekerja ibunya ke sana (Narathiwat),” katanya.
— BERNAMA