Seorang kanak-kanak lima tahun ditanam paras leher selepas disambar petir ketika sedang mandi hujan di depan rumahnya di daerah Langkat, Indonesia, lapor Tribun Janteng.
Kejadian itu disaksikan penduduk di kawasan tersebut dan mereka dengan segera mengambil kanak-kanak terbabit selepas dia terjatuh menghempap tanah.
“Selepas disambar dia terjatuh dan ada orang ternampak kejadian itu dan segera mengangkat dan menanamnya dalam tanah.
“Perkara itu dibuat agar tidak berlaku perkara yang tidak diingini dan kini dia telah sedar,” kata salah seorang penduduk, memetik Instagram @andreli_48.
Menerusi video tersebut, badan kanak-kanak lelaki itu telah ditutupi dan dipenuhi tanah bercampur daun pisang sehingga hanya muka sahaja yang kelihatan.
Kanak-kanak itu dikelilingi wanita yang dikategorikan sebagai ibu oleh kerana mereka pakar dalam hal tersebut.
Tidak lama selepas itu, kanak-kanak itu mula menunjukkan tanda-tanda sedar dan dilihat selamat.
Difahamkan, kaedah itu merupakan cara-cara penduduk Langkat untuk merawat orang-orang yang disambar petir.
Penduduk itu menjelaskan sekiranya disambar petir, mangsa harus ditanam dengan cepat dan jangan terlalu lama supaya dia cepat pulih.
Beberapa sumber melaporkan kanak-kanak itu semakin pulih namun masih dalam keadaan lemah dan mata mangsa tidak dapat dilihat dengan jelas ekoran terasa silau apabila melihat matahari.
Kata warganet
Susulan itu video tersebut telah mendapat beberapa komen daripada warganet disebabkan ia merupakan perkara yang ‘baharu’ bagi dunia internet.
“Sebenarnya ini adalah kaedah mudah untuk sifarkan elektrik. Lebih cepat dengan memasukkannya dalam lopak air yang penuh dengan lumpur,” kata @sudarwanto_wongspdiharjo.
“Sama seperti di kampung halaman saya, Cirebon saya juga menggunakan kaedah ini,” ujar @tisna_gcv115.
Sumber: Tribun Janteng