MOSCOW, 16 Julai (Bernama) – Sektor pelancongan Kanada bakal dibuka semula awal September dengan membenarkan kemasukan pelancong yang lengkap divaksin berikutan perkembangan memberangsangkan kempen vaksinasi kebangsaan, lapor Sputnik, memetik Perdana Menteri Justin Trudeau.
Pada Khamis, Trudeau dan Menteri Hal Ehwal Antara Kerajaan, Dominic LeBlanc, mengadakan perbincangan dengan ketua-ketua menteri berhubung perkembangan terkini pandemik.
“Perdana Menteri berkata jika kadar vaksinasi dan sistem kesihatan awam terus menunjukkan perkembanga positif, Kanada akan berada di landasan untuk membenar kemasukan pelancong asing yang telah divaksin pada awal September,” memetik kenyataan pejabat akhbar perdana menteri.
Tiada perincian lanjut mengeai senarai vaksin yang mendapat perakuan Kanada, namun, warganegara Amerika Syarikat (AS) dan pemastautin tetap yang lengkap divaksin akan dibenarkan masuk mulai pertengahan Ogos.
Sejak Mac 2020, Kanada telah menyekat kemasukan semua pelancong, termasuk dari AS dan sekatan terhadap perjalanan kurang mustahak dilanjutkan sehingga 21 Julai.
Sumber: BERNAMA