
“Kami punya banyak persamaan,” – Sempat Anwar Berseloroh Dengan Trump
Suasana majlis menandatangani perjanjian damai antara Thailand dan Kemboja diwarnai dengan detik lucu apabila Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sempat berseloroh dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
“Kami mempunyai banyak persamaan. Saya pernah masuk penjara, tapi awak (Trump) hampir sampai juga,” seloroh Anwar ketika memuji keberanian Trump dalam mengambil langkah berani untuk mempromosikan keamanan serantau, sekali gus mencetuskan gelak tawa hadirin.
Dalam ucapannya, Anwar menegaskan bahawa dunia kini memerlukan lebih ramai pemimpin yang benar-benar memperjuangkan keamanan. Beliau memuji Trump kerana berani ‘melanggar sedikit peraturan’ demi mencapai matlamat tersebut.
“Dunia memerlukan pemimpin yang benar-benar memperjuangkan keamanan. Dan untuk mencapainya, kadangkala kita perlu melanggar sedikit peraturan, seperti yang anda lakukan hari ini,” kata Anwar.
Anwar turut berkongsi detik lucu sewaktu ketibaan Trump ke majlis berkenaan.
“Apabila presiden tiba, beliau menjemput saya untuk menaiki kereta bersamanya. Saya berkata, itu melanggar peraturan keselamatan dan protokol. Namun beliau kelihatan gembira kerana dapat ‘melanggar’ peraturan itu, dan saya fikir beliau seorang yang baik,” tambahnya.
Sebelumnya, Trump memuji peranan penting Malaysia dalam memudahkan rundingan gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja bagi memulihkan keamanan di sepanjang kawasan sempadan yang menjadi pertikaian.
Trump berkata beliau memutuskan untuk memasukkan Malaysia dalam lawatan serantau beliau sebagai pengiktirafan kepada diplomasi aktif Malaysia dalam membantu menguruskan gencatan senjata itu.
“Saya memberitahu pemimpin Malaysia (Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim), yang merupakan seorang yang sangat baik, saya berkata, ‘Saya rasa saya wajar membuat lawatan ke sini,’ dan sebab itulah kami singgah di Malaysia. Malaysia memainkan peranan yang sangat besar (dalam gencatan senjata Thailand-Kemboja),” katanya kepada pemberita di dalam pesawat rasminya, Air Force One, sejurus berlepas dari Washington sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Majlis pemeteraian itu akan disaksikan oleh Perdana Menteri Malaysia dalam kapasiti beliau sebagai Pengerusi ASEAN, serta Trump.
Thailand dan Kemboja telah lama berselisih mengenai sempadan sepanjang 817 kilometer, dengan ketegangan terbaru membawa kepada konfrontasi ketenteraan pada 24 Julai.
Pada 28 Julai, Anwar menganjurkan mesyuarat penting di Putrajaya antara Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand ketika itu, Phumtham Wechayachai, yang berjaya meredakan ketegangan di kawasan sempadan kedua-dua negara.
Gencatan senjata itu, yang dilihat sebagai satu pencapaian besar ASEAN, berjaya mengelakkan peningkatan konflik ketenteraan yang lebih meluas serta memastikan keselamatan ribuan penduduk di kedua-dua belah sempadan.
Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN tahun ini, menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dari 26 hingga 28 Okt di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
BACA: Malaysia Gesa Trump Kekal Teguh Dalam Usaha Mempromosikan Keamanan, Termasuk Di Gaza – PM Anwar
Sumber: CNN