Tular di media sosial beberapa gambar seorang remaja lelaki yang terlantar di hospital didakwa akibat disiram air panas ketika mangsa sedang tidur.
Menurut sumber, kejadian tersebut didakwa berlaku di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang terbakar beberapa tahun lepas.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai kejadian, kami telah menghubungi pengetua institusi berkenaan, Ustaz Muhammad Zahid Mahmod.
Menurutnya, kejadian tersebut bukan buli seperti didakwa, namun berpunca daripada perselisihan faham antara dua pelajar lelaki berusia 13 tahun beberapa hari sebelumnya.
Lantaran perselisihan itu, pihak pengurusan tahfiz telah mengambil tindakan dengan berjumpa kedua-dua ibu bapa pelajar terlibat bagi menyelesaikan konflik berkenaan.
“Pada Selasa lalu, ada pergaduhan kecil antara kedua-dua pelajar. Pihak sekolah telah bertemu dan memberi teguran kepada mereka termasuk memanggil kedua-dua ibu bapa pelajar terlibat bagi menyelesaikan konflik berkenaan,” katanya.
Namun katanya, kecederaan mangsa bukanlah sehingga separuh badan seperti didakwa di media sosial. Mangsa yang dihantar ke hospital mengalami kecederaan pada beberapa bahagian antaranya belakang badan dan sedikit di perut.
Tidak menjangkakan tindakan pelajar berkenaan, beliau berkata pelaku sebelum ini tidak ada sebarang masalah disiplin sepanjang dua tahun belajar di sana.
Berikutan itu, pihak sekolah telah bertemu buat kali kedua bersama ibu bapa kedua-dua pelajar terlibat dan kes berkenaan telahpun di bawa ke pengetahuan pihak polis untuk siasatan.
Pelajar yang cedera dirawat di hospital manakala pelaku terlibat direhatkan daripada pembelajaran.
Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah merupakan pusat pembelajaran al-Quran percuma serta tidak mengenakan sebarang bayaran kepada para pelajar. Pengurusan institut berkenaan bergantung kepada penajaan penaung, derma orang awam dan bantuan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
Sumber: Muhammad Zahid Mahmod, Facebook