
“Kami Dilayan Dengan Baik, Diberi Makan & Ubat”, Wanita Israel Dedah Pengalaman Jadi Tawanan
Wanita Israel yang dibebaskan semalam berkongsi pengalaman ketika menjadi tawanan Hamas kepada media hari ini.
Yocheved Lifshitz, 85, berkata mereka diberikan layanan yang baik, disediakan makanan dan ubat-ubatan sepanjang menjadi tawanan.
Perkara berkenaan dikongsikan oleh anaknya, Sharone Lifshitz yang bertindak sebagai penterjemah ketika Yocheved ditemu bual oleh media.
Menurut Yocheved lagi, Hamas menyediakan doktor untuk memeriksa kesihatannya dan tawanan lain serta memastikan mereka menerima ubat-ubatan yang biasa diambil mereka sebelum ini.
“Mereka kelihatan seperti sudah bersedia. Semua keperluan harian yang biasa seperti syampu dan perapi juga mereka sediakan.
“Kami diberi makan roti pita, keju keras, krim keju rendah lemak dan timun. Itu makanan yang kami makan sepanjang hari,” kata Yocheved.
Menurut Sharone yang bekerja dan menetap di London, dia segera terbang ke Tel Aviv apabila mendapat berita bahawa ibunya akan dibebaskan pada Isnin.
“Ibu saya memberitahu bahawa mereka (Hamas) sangat mesra dengan tawanan-tawanan. Mereka menjaga tawanan dengan baik.
“Mereka diberikan rawatan dan ubat. Salah seorang tawanan cedera selepas terlibat dalam kemalangan motosikal ketika ditawan..
“Anggota paramedik mereka memberikan rawatan dan antibiotik. Mereka sangat mesra dan memastikan kawasan tawanan ditahan berada dalam keadaan bersih.
“Ibu saya memberitahu mereka melayannya dengan sopan dan memastikan semua keperluannya dipenuhi,” kata Sharone kepada media.
Semalam, Hamas membebaskan dua tawanan dan video detik-detik tawanan itu dibebaskan turut menjadi viral di media sosial.
Antara perkara menarik yang dilihat menerusi rakaman itu adalah tindakan Yocheved bersalam dengan salah seorang anggota Hamas yang lengkap bersenjata.
Yocheved berkata tindakan itu kerana merasa mereka telah melayannya dengan baik.
Ketegangan antara Israel-Gaza yang meletus sejak beberapa minggu lepas menyaksikan ribuan nyawa telah terkorban di kedua-dua belah pihak.
BACA: Penting Bila Bawa Budak, Ini Cara Nak ‘Hidupkan’ Fungsi Child Safety Lock
Sumber: Sky News