
“Kami dah cukup, kami dah hantar, tunggu untuk diundang,” demikian kata-kata ringkas Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dimuat naik di laman Facebook rasminya sebentar tadi.
Difahamkan beliau berkata demikian bagi mengesahkan bahawa Perikatan Nasional sudah pun mengemukakan Surat Akuan Berkanun dan pencalonan nama Perdana Menteri ke-10 kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA).
Terdahulu, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin turut mengesahkan telah mengemukakan Surat Akuan Berkanun dan memberikan nama Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.
“Parti Perikatan Nasional telah mengemukakan Surat Akuan Berkanun daripada Ahli-ahli Dewan Rakyat yang memberikan kepercayaan kepada YB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin, Ahli Parlimen Pagoh, untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10 oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
“Jumlah Surat Akuan yang dihantar adalah melebihi 112, iaitu jumlah kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat yang diperlukan untuk pelantikan Perdana Menteri di bawah Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Semalam, Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan pihaknya telah menerima beberapa parti bagi membentuk sebuah Kerajaan Persekutuan.
Menerusi laman Facebook, Muhyiddin memaklumkan mengenai kunjungan yang diterima olehnya pada Ahad setelah tiada parti yang memperoleh majoriti mudah dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) sekali gus menjadikan parlimen tergantung.
Difahamkan, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama Presiden PAS, Abdul Hadi Awang melawat kediaman Muhyiddin bagi membincangkan mengenai pembentukan Kerajaan Persekutuan.
Sumber: Abdul Hadi Awang via Facebook