
Pada hari kedua sejak Rusia melancarkan serangan terhadap Ukraine, beberapa siri letupan dilaporkan berlaku di ibu kota Kyiv semenjak pagi tadi.
Menteri Luar Ukraine, Dmytro Kuleba menyifatkan serangan roket terhadap Kyiv sebagai serangan yang ‘mengerikan’.
“Serangan roket yang mengerikan menghentam Kyiv. Kali terakhir ibu negara kami (Kyiv) mengalami perkara seperti ini pada tahun 1941 semasa diserang Nazi Jerman,” katanya.
Tambah Kuleba, Ukraine pernah mengalahkan Nazi suatu ketika dulu dan yakin akan mematahkan serangan Rusia pula kali ini.
“Ukraine kalahkan kejahatan itu (Nazi Jerman) dan akan mengalahkan yang ini (Rusia). Hentikan Putin. Asingkan Rusia. Putuskan segala ikatan. Tendang Rusia keluar dari segala-galanya,” ujar Kuleba.
Menurut laporan pasukan CNN yang berada di Kyiv, beberapa letupan dikatakan kedengaran pada pagi tadi.
Sebelumnya, Timbalan Menteri Dalam Negeri Ukraine, Yevhen Yenin dilaporkan mendakwa letupan hari ini adalah disebabkan sistem anti peluru berpandu Ukraine yang menembak peluru berpandu Rusia dari udara. Namun begitu, kenyataan tersebut setakat ini belum dapat disahkan.
Sumber: CNN