
Buat kali kedua dalam sejarah, sekali lagi tiada jawatan Timbalan Perdana Menteri yang dinamakan dalam barisan jemaah Kabinet baharu pada kali ini.
Sebaliknya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan, jawatan kedua tertinggi selepasnya dalam Kabinet baharu ini didokongi oleh empat menteri kanan.
Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kekal menjawat Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, dengan timbalannya Datuk Lim Ban Hong.
Selain Azmin, turut dilantik ialah Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Haji Fadillah Yusof dan Datuk Dr. Mohd Radzi Md Jidin masing-masing menyandang jawatan Menteri Kanan (Kerja Raya) dan Menteri Kanan (Pendidikan).
Pada Khamis, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri di Istana Abdulaziz di Kuantan, Pahang.
Menerusi sesi menghadap yang berlangsung selama satu jam 30 minit itu, Seri Paduka Baginda telah berkenan menerima persembahan senarai anggota Jemaah Kabinet baharu dari Ismail Sabri susulan pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri ke-9 pada 21 Ogos 2021 lalu.