
Satu kajian yang telah dilakukan baru-baru ini oleh Institut Sains India (IISc) mendapati bahawa lelaki adalah penyumbang terbesar kepada pencemaran udara berbanding wanita.
Memetik Indian Express, dapatan itu diperolehi melalui kajian yang bertajuk ‘Mengkaji potensi pengurangan pengankutan jalan raya di bandar yang diukur menerusi pendapatan dan kumpulan jantina’ yang juga telah diterbitkan dalam Journal of Transport Geography.
Berdasarkan pemerhatian penyelidik, mereka mendapati bahawa pejalan kaki lebih ramai terdiri dalam kalangan wanita dan mereka cenderung untuk berjalan dalam jarak yang lebih jauh berbanding lelaki.
Selain itu, kajian yang juga mendapati dalam kebanyakan kes, pelepasan gas karbon dioksida lebih rendah berlaku dalam golongan yang bependapatan tinggi dan pengurangan pencemaran PM2.5 (pencemaran bahan dibawah 2.5 micron) lebih banyak berlaku dalam kalangan mereka yang berpendapatan sederhana dan rendah.
Selain mendapati lelaki adalah penyumbang terbesar kepada pencemaran udara, mereka juga mendapati bahawa wanita pula adalah penyumbang utama kepada pengurangan pencemaran udara.
“Wanita cenderung menukar mod cara mereka bergerak daripada berjalan kaki ke paratransit kepada pengankutan awam dan seterusnya kenderaan pribadi apabila tahap pendapatan mereka meningkat.
“Sementara lebih ramai lelaki menggunakan kenderaan peribadi berbanding wanita.
“Lelaki menyumbang kepada pencemaran udara lebih tinggi kerana jumlah perjalanan mereka lakukan lebih tinggi dan banyak, tapi agak kurang menyumbang kepada mitigasi berbanding wanita” menurut kajian itu lagi, lapor Indian Express.
Ashish Verma, Profesor, Kejuruteraan Sistem Pengankutan, Convenor, Makmal Pengankutan Lestari (IST) IISc, Jabatan Kejuruteraan Awam, IISc yang menjalankan kajian tersebut berkata kos pengangkutan yang dikaitkan dengan dasar mitigasi telah menunjukkan sedikit kesan ke atas kumpulan lelaki yang berpendapatan tinggi.
Oleh itu, untuk mencapai potensi mitigasi yang tinggi daripada kumpulan lelaki berpendapatan tinggi, kos pengangkutan bukanlah masalah utama, jadi insentif untuk menggunakan pengangkutan awamlah yang harus ditingkatkan.
Menurut Verma, wanita (berpendapatan tinggi dan rendah) menggunakan pengangkutan awam. Wanita yang berpendapatan tinggi lebih cenderung untuk memilih pengangkutan Metro jika perkhidmatan menjadi menarik dan boleh dipercayai.
Manakala wanita yang berpendapatan rendah lebih cenderung untuk memilih bas kerana mengambil kira dari aspek kos. Wanita juga lebih banyak berjalan kaki kerana tidak semua kawasan boleh diakses menggunakan pengankutan awam. Jadi mereka lebih memilih berjalan kaki untuk ke tempat pengangkutan awam.
Para penyelidik juga mendapati bahawa masa perjalanan memainkan peranan penting bagi mereka yang berpendapatan tinggi memilih pengangkutan awam.
BACA: Menang Laga Ayam Di Thailand, Lelaki Malaysia Ditembak Penduduk Tempatan
Sumber: Indian Express