
Pengambilan ubat kesihatan seksual, Viagra dipercayai boleh digunakan untuk merawat penyakit Alzheimer berdasarkan satu kajian yang dijalankan di Amerika Syarikat (AS), lapor The Guardian.
Penyakit Alzheimer yang sering terjadi kepada warga emas ini menyebabkan penderitanya mengalami komplikasi nyanyuk (demensia). Walaupun bilangan kes semakin meningkat, namun masih tiada rawatan yang berkesan untuk merawat penyakit tersebut.
Oleh itu, penyelidik di Klinik Cleveland telah menjalankan satu kajian menggunakan rangkaian pemetaan gen yang besar terhadap lebih 1,600 ubat yang diluluskan oleh bahagian Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA) bagi mengenal pasti ubat terbaik untuk penyakit Alzheimer.
“Sildenafil, yang telah membuktikan dapat meningkatkan kognisi dan memori dengan ketara dalam model praklinikal, menunjukkannya sebagai ubat yang terbaik,” kata ketua penyelidikan, Dr. Feixiong.
Menurut The Guardian, sildenafil adalah ubat yang terpilih dalam uji kaji itu dan jenama produk ubat tersebut yang dikomersialkan dikenali sebagai Viagra.
Difahamkan, penyelidik tersebut menggunakan pangkalan data lebih tujuh juta orang di US bagi mengenal pasti hubungan antara sildenafil dengan hasil penyakit Alzheimer dengan membandingkan antara pengguna sildenafil dan bukan pengguna.
Hasil kajian selepas enam tahun mendapati, kira-kira 69 peratus pengguna sildenafil kurang menghidapi penyakit Alzheimer berbanding mereka yang langsung tidak menggunakannya.
Selain itu, penyelidik turut membangunkan model makmal yang menunjukkan bahawa sildenafil mampu meningkatkan pertumbuhan sel otak dan menyasarkan kandungan protein ‘tau’.
Bagaimanapun, Dr. Feixiong menegaskan bahawa kajian tersebut bukanlah pengukur utama hubung kait antara ubat sildenafil dengan penyakit Alzheimer.
“Ujian klinikal secara rawak melibatkan kedua-dua jantina dengan kawalan ‘placebo’ diperlukan bagi mengesahkan keberkesanan sildenafil,” tambanya.
Sumber: The Guardian