top 20 kata laluan
Kredit: Image FX

Kajian Dedah Top 20 Kata Laluan Paling Kerap Diguna Rakyat Malaysia

Sofea

Kajian Dedah Top 20 Kata Laluan Paling Kerap Diguna Rakyat Malaysia

Seperti yang diketahui, untuk mengakses aplikasi atau sesetengah laman web, kita perlu menetapkan nama pengguna dan kata laluan. Dalam sesetengah keadaan, nama pengguna boleh didedahkan kepada umum terutama bagi penciptaan akaun media sosial.

Bagaimanapun, lain pula ceritanya dengan kata laluan kerana ia maklumat yang sangat sulit dan tidak patut didedahkan kepada sesiapa pun.

Kebocoran kata laluan boleh mencetuskan pelbagai risiko keselamatan antaranya akaun digodam, penyamaran, aktiviti penipuan dan pelbagai bentuk jenayah siber lain.

Disebabkan itu, pengguna dinasihatkan untuk tidak menetapkan kata laluan yang memudahkan orang lain untuk mengakses akaun anda.

Bercakap mengenainya, pengurus kata laluan, NordPass bersama NordStellar baru-baru ini telah mengeluarkan edisi ketujuh kajian tahunan Top 200 Most Common Passwords.

Selain mengenal pasti kata laluan paling popular di seluruh dunia dan di 44 negara, kajian tahun ini turut memberi tumpuan kepada bagaimana corak penggunaan kata laluan berbeza mengikut generasi.

Menerusi kajian itu, kata laluan yang paling kerap digunakan di Malaysia turut didedahkan.

Berikut merupakan 20 kata laluan paling lazim digunakan di Malaysia:

1. 123456

2. 111111

3. qwerty123

4. admin

5. 12345678

6. Aaa111

7. Asd123

8. password

9. abcd1234

10. Ana111

11. abc123

12. 123456789

13. 888888

14. [email protected]

15. P@ssw0rd

16. 12345

17. 12345678910

18. ppppppp

19. Abcd1234

20. 1234qwer

Seperti yang tertera di dalam senarai tersebut, ‘123456’ sekali lagi menjadi kata laluan paling biasa digunakan di Malaysia iaitu sebanyak 221,833 kali.

Malah, Malaysia juga merupakan antara beberapa negara di mana kata laluan paling popular tidak berubah daripada tahun sebelumnya.

Menurut NordPass, walaupun pakar keselamatan siber berulang kali menegaskan bahawa kata laluan yang mudah sangat senang untuk diteka menggunakan kamus dan brute-force, rakyat Malaysia masih mengabaikan amaran tersebut.

“Gabungan perkataan ringkas, kombinasi nombor dan pola papan kekunci terus mendominasi senarai 20 teratas.

“Tahun ini ‘123456’ kekal sebagai kata laluan paling popular di Malaysia, diikuti ‘111111’.

“Secara keseluruhan, tujuh kedudukan dalam senarai dipenuhi kombinasi angka ringkas, manakala enam lagi menggunakan gabungan huruf dan angka paling asas,” katanya.

BACA JUGA: Kata Laluan “Sayang” Paling Popular Di Malaysia, Dianggap Lemah & Mudah Diramal

Dalam pada itu, ‘123456’ juga secara global kekal menjadi kata laluan yang sering digunakan. Ia diikuti dengan ‘admin’ dan ‘12345678’.

Corak kata laluan lemah seperti “12345” hingga “1234567890,” serta gabungan seperti “qwerty123,” mendominasi senarai di banyak negara.

“Tahun ini, penyelidik turut melihat peningkatan besar dalam penggunaan aksara khas dengan 32 kata laluan di senarai utama mengandungi aksara khas, berbanding hanya enam tahun lalu.

“Simbol ‘@’ ialah yang paling kerap digunakan. Namun, kebanyakan kata laluan tersebut masih mudah diteka, contohnya ‘P@ssw0rd,’ ‘Admin@123,’ dan ‘Abcd@1234’,” kata NordPass.

Di samping itu, perkataan ‘password ‘ juga kekal popular di seluruh dunia, digunakan dalam bentuk bahasa Inggeris da terjemahan tempatan seperti ‘heslo’ (Slovak), ‘salasana’ (Finland), ‘motdepasse’ (Perancis) dan ‘contraseña’ (Sepanyol).

“Secara umumnya, walaupun banyak usaha dilakukan untuk mendidik orang ramai tentang keselamatan siber, data menunjukkan hanya peningkatan kecil berlaku dalam amalan pengurusan kata laluan.

“Dunia sedang bergerak ke arah passkeys, tetapi buat masa ini, selagi passkeys belum digunakan secara meluas, kata laluan yang kuat masih sangat penting. Lebih 80% kebocoran data berpunca daripada kata laluan lemah, dikompromi atau digunakan semula,” kata Ketua Produk NordPass, Karolis Arbaciauskas.

Kajian itu turut mendapati bahawa bagi golongan Digital Native iaitu mereka yang membesar dengan teknologi, tidak semestinya mempunyai pemahaman yang baik tentang keselamatan kata laluan walaupun telah diberikan pendedahan meluas kepada dunia digital.

“Tabiat kata laluan remaja 18 tahun hampir sama dengan individu berusia 80 tahun. Kombinasi angka seperti ‘12345’ dan ‘123456’ mendominasi semua kumpulan umur. Perbezaannya ialah generasi lebih tua cenderung menggunakan nama dalam kata laluan.

“Generasi Z dan Y jarang menggunakan nama, sebaliknya memilih kombinasi seperti ‘1234567890’ atau ‘skibidi’. Penggunaan nama lebih ketara dalam Generasi X dan paling tinggi dalam kalangan Baby Boomers,” jelas Arbaciauskas.

Tip keselamatan kata laluan

Arbaciauskas turut memberikan beberapa langkah asas boleh meningkatkan keselamatan digital dengan ketara iaitu:

1. Cipta kata laluan kuat dan rawak (sekurang-kurangnya 20 aksara, gabungan huruf, nombor dan simbol).

2. Jangan guna semula kata laluan. Setiap akaun perlu ada kata laluan unik.

3. Semak semula kata laluan secara berkala. Kenal pasti yang lemah, lama atau digunakan semula.

4. Gunakan pengurus kata laluan. Ia membantu menjana dan menyimpan kata laluan dengan selamat.

5. Aktifkan pengesahan berbilang faktor (MFA). Ia lapisan keselamatan tambahan walaupun kata laluan terdedah.

Sumber: NordPass