Kicauan burung adalah salah satu daripada keindahan alam yang boleh kita selalu dengari. Namun, bagi generasi baru, sebilangan burung sebenarnya lupa akan nada kicauannya, kata kajian.

Menurut sebuah kajian yang diterbitkan dalam jurnal Proceedings of the Royal Society B, beberapa burung pengicau jantan (male songbird) yang tergolong dalam spesies terancam dikatakan hilang kemampuan untuk berkicau seperti burung terdahulu.
Kajian tersebut mengatakan bahawa lama kelamaan burung pengicau jantan menjadi sukar untuk memilih nada kicauan bagi menarik perhatian pasangan. Hal ini dikatakan sama seperti manusia yang kehilangan budaya seiring dengan perubahan generasi baru.
Menurut sumber, terdapat burung yang mahir berkicau iaitu burung regent honeyeater, namun burung ini telah berada dalam kategori spesies terancam.

Walau bagaimanapun, tidak bermaksud spesies burung telah hilang kemampuan untuk berkicau kerana itu merupakan apa yang diwarisinya sejak dilahirkan. Cuma, nada kicauan itu yang berbeza kerana ia diturunkan dari generasi ke generasi oleh kerabatnya atau daripada burung lain.
Dengan populasi yang sangat rendah, burung yang baru lahir tidak benar-benar membesar dengan mendengar lagu yang sama. Oleh itu, ia tidak tahu apa yang harus ‘dinyanyikan’, malah kadang-kadang tidak cukup untuk menarik pasangan.
Menurut para penyelidik, 12 peratus burung yang mereka amati gagal ‘menyanyikan’ lagu-lagu daripada spesiesnya sendiri. 27% daripadanya dipercayai telah ‘menyanyikan’ lagu-lagu yang sangat berbeza daripada lagu-lagu yang masih berjaya menarik burung betina untuk dijadikan pasangan.
Ross Crates, ketua penyelidik menjelaskan, “Jika burung yang terancam tidak dapat belajar berkicau dengan betul, ini akan mempengaruhi kemampuannya untuk berkomunikasi. Ini juga boleh memberi kesan penurunan pada populasi burung honeyeater kerana kita tahu lagu seksi meningkatkan kemungkinan pembiakan burung pengicau. Burung betina akan menghindari burung jantan yang ‘menyanyikan’ lagu yang tidak biasa didengari.”
Katanya lagi, perkara tersebut hanya akan memburukkan masalah kerana tanpa mempelajari kemahiran untuk menarik pasangan, populasi burung ini akan semakin rendah sehingga ia tidak lagi wujud sepenuhnya.
Sumber: IndiaTimes.com