Kabin Pesawat Diserang Puluhan Nyamuk, Penerbangan Terpaksa Tangguh
Gara-gara diserang nyamuk dalam kabin pesawat, penerbangan dari Guadalajara ke Mexico City dilaporkan tertangguh lebih daripada dua jam, lapor UPI.
Jumaat lalu, penerbangan Volaris VOI221 dijadualkan sepatutnya berlepas pada 4.30 petang (waktu tempatan) namun terpaksa ditangguhkan sehingga 6.59 petang.
Hal tersebut disebabkan oleh suasana ‘haru-biru’ penumpang-penumpang serta kru bertugas yang berusaha menghalau spesies serangga berkenaan.
Kejadian aneh itu sempat dirakam penumpang yang memaparkan kru kabin terpaksa menggunakan semburan nyamuk supaya serangga berkenaan mati.
Bagaimanapun, semburan itu dikatakan tidak berkesan kerana ia lebih ‘mengganggu’ nyamuk.
Penumpang juga memaklumkan nyamuk tidak henti berterbangan sehinggalah lampu di dalam pesawat dipadamkan.
BACA: Nyamuk Haiwan Pembunuh Yang Telah Bunuh Lebih Ramai Orang Berbanding Makhluk Lain
Bukan kali pertama berlaku
Difahamkan juga, kejadian tersebut bukanlah kali pertama menimpa kru kabin dan penumpang yang menaiki penerbangan dari Lapangan Terbang Guadalajara, memetik People.
Penumpang yang pernah menaiki pesawat dari lapangan itu pernah melaporkan perkara tersebut di media sosial, dengan menyatakan mereka diserang oleh serangga yang sama sebelum ini.
Seorang penumpang berkongsi video pada 2019 di platform X, tentang nyamuk yang berterbangan di sekeliling penerbangannya ketika dia berlepas dari lapangan terbang itu.
Semasa kejadian, serangga itu boleh dilihat berterbangan di sekeliling ketika penumpang cuba untuk menghapuskan mereka.
Pada ketika itu, syarikat penerbangan tersebut memberi maklum balas dengan mengatakan situasi itu adalah di luar kawalan mereka dan nyamuk berkemungkinan hadir disebabkan jumlah air bertakung di sekeliling pesawat.
Media tempatan juga melaporkan bahawa lapangan terbang itu mempunyai sejarah nyamuk menjejaskan penerbangan mereka.
Menurut pegawai, Lapangan Terbang Antarabangsa Guadalajara yang berdekatan dengan kawasan banjir menjadikan ia sebagai tempat ideal untuk pembiakan nyamuk.
Syarikat penerbangan itu berkata walaupun mereka tidak dapat mengawal masalah tersebut namun mereka telah mengambil langkah-langkah untuk mengurangkan isu itu.
Mereka mula mencantas rumput yang berada di kawasan tersebut dan menyembur racun serangga untuk mengawal populasi nyamuk di dalam dan luar lapangan.
Sumber: UPI, People
BACA: Wanita Teruja Jumpa ‘Abang Nyamuk’ Bikin Terhibur