pesawat mendarat cemas
Kredit Gambar: Twitter/@aviationbrk

Kabin Dipenuhi Asap Akibat Enjin Rosak, Pesawat Mendarat Cemas

Ezzatul Syafiqah

Kabin Dipenuhi Asap Akibat Enjin Rosak, Pesawat Mendarat Cemas

Pesawat Southwest Airlines dari Cuba ke Fort Lauderdale, Florida dilaporkan terpaksa melakukan pendaratan kecemasan selepas kabin dipenuhi kepulan asap.

Memetik laporan New York Post, asap itu berpunca daripada enjin pesawat tersebut yang rosak selepas dilanggar sekumpulan burung.

Penerbangan 3923 tersebut mula dipenuhi dengan asap di dalam kabin sejurus sahaja berlepas dari Havana.

Media Cuba melaporkan bahawa salah satu enjin tersebut tidak berfungsi akibat kejadian itu.

Pesawat mendarat cemas

“Boeing 737 itu mempunyai seramai 147 penumpang dan enam anak kapal.

“Juruterbang itu berjaya membuat pendaratan kecemasan ke Havana dengan selamat” kata Southwest Airlines kepada Guardian.

Sebelum kejadian asap tersebut, seorang penumpang mendengar bunyi “ledakan” dan menggambarkan keadaan huru hara di dalam kabin.

Dalam pada itu rakaman yang dimuat naik oleh beberapa orang penumpang di media sosial memperlihatkan kepulan asap yang menyelubungi di dalam kabin tersebut.

Penumpang panik

Malah, ada juga beberapa orang penumpang yang dilihat cuba mendapatkan topeng oksigen dengan menumbuk bahagian ‘siling’ tempat duduk mereka.

Selepas sahaja mendarat dengan selamat di Lapangan Terbang Marti, penumpang dan kru penerbangan itu telah turun melalui gelongsor kecemasan.

“Sejujurnya, saya fikir sudah tiba masanya saya ‘pergi’,” kata seorang penumpang.

Seorang lagi penumpang, Jorge Montesino berkata, dia menyaksikan enjin pesawat itu terbakar dan mendorongnya untuk segera menghantar mesej kepada isteri dan anak-anaknya bagi menyampaikan rasa cinta kepada keluarganya.

Sebaik sahaja pesawat mendarat dengan selamat mereka bertepuk dan bersorak untuk juruterbang walaupun penumpang berada dalam keadaan bingung mengenai kejadian yang berlaku.

Sementara itu, Southwest Airlines juga membuat permohonan maaf kepada semua penumpang yang terlibat dalam tragedi itu

“Kami memuji tindakan pantas professional juruterbang dan pramugari kami dalam memberi respons terhadap kejadian ini.

“Kami juga ingin memohon maaf kepada pelanggan kami atas kesulitan. Kami telah menghubungi mereka untuk menawarkan sokongan dan bantuan,” kata syarikat itu.

Menerusi laporan CNN, CASCA berkata siasatan sedang dijalankan dan lapangan terbang itu akan meneruskan operasinya seperti biasa.

Sumber: New York Post