trudeau arah tembak objek
Kredit: AFP, BBC

Justin Trudeau Arah Tembak Jatuh Objek Tidak Dikenali

Nurhanis

Justin Trudeau Arah Tembak Jatuh Objek Tidak Dikenali

Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau mengesahkan telah memberi arahan untuk menembak jatuh objek yang tidak dikenali di atas ruang udara Amerika Utara, lapor BBC.

Trudeau mengesahkan pada Sabtu, beliau memberi arahan itu dan telah menghubungi Presiden AS Joe Biden mengenai tindakan yang dilakukan.

Dalam ciapan di Twitter, Trudeau berkata Kanada akan melakukan analisis ke atas serpihan objek yang ditembak itu.

“Pasukan (keselamatan) Kanada kini akan mendapatkan serpihan objek itu dan menganalisisnya,” katanya.

Beliau berkata objek terbaharu itu melanggar ruang udara Kanada dan ditembak jatuh di wilayah Yukon di barat laut Kanada.

Objek berterbangan di Yukon

Menurut Menteri Pertahanan Anita Anand, objek terbaharu yang tidak dinyatakan itu berterbangan kira-kira 40,000 kaki di atas tengah Yukon.

Tambahnya, objek itu juga melalui di kawasan itu kira-kira pukul 3.41 pagi waktu tempatan pada Sabtu.

Objek tersebut disifatkan sebagai kecil dan berbentuk silinder namun usaha siasatan masih dijalankan untuk mengetahui butiran lanjut.

Kredit: BBC

Anand berkata ia dibawa keluar kira-kira 100 batu dari sempadan Amerika Syarikat (AS) sambil menambah ia menimbulkan ancaman munasabah kepada penerbangan awam.

Rumah Putih (Washington US) berkata objek itu telah dikesan dan dipantau sepanjang 24 jam terakhir.

“Atas kewaspadaan yang tinggi dan saranan tentera mereka, Biden dan Trudeau membenarkan ia diturunkan (ditembak).

“Para pemimpin membincangkan kepentingan menyiasat objek untuk menentukan lebih banyak butiran mengenai tujuan atau asalnya,” maklum kenyataan Rumah Putih.

Dalam pada itu, Trudeau mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada Komando Pertahanan Aeroangkasa Amerika Utara (NORAD) yang menjalankan misi itu.

NORAD dan komando bersama Amerika Kanada melancarkan jet untuk mencari objek itu selepas Trudeau memberi arahan mengenai perkara terbabit.

Jabatan Pertahanan AS mengesahkan dua jet F-22 berlepas dari pangkalan tentera di Anchorage, Alaska dan objek itu ditembak jatuh dengan peluru berpandu Aim 9X.

Kemunculan objek terbaharu di Amerika Utara berlaku hanya seminggu selepas insiden belon pengintip China ditembak oleh AS.

Ia adalah objek ketiga yang ditembak jatuh ke atas Amerika Utara pada minggu lepas.

Sumber: BBC

BACA: Amerika Tembak Jatuh Objek Tidak Dikenali Terbang Di Alaska