
Justin Hubner Dakwa Pasukan Indonesia Sudah Berada Di Tahap Berbeza
Baru-baru ini, tular di media sosial berkenaan satu ciapan di platform X yang menyarankan supaya pasukan bola sepak Australia mempelajari strategi daripada Malaysia untuk mengalahkan skuad Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno.
Dalam ciapan tersebut, ia mendakwa strategi yang digunakan Harimau Malaya itu berhasil membawa kemenangan tipis 3-2 semasa menentang skuad Garuda pada perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022.
Tidak hanya itu, ia juga meletakkan video tutorial sebagai rujukan buat pasukan Australia dan Jepun untuk perlawanan yang akan datang.
Perkara itu kemudiannya menarik perhatian netizen di negara jiran serta pemain pertahanan Indonesia, Justin Hubner.
Apatah lagi, Indonesia berjaya mengikat salah sebuah gergasi Asia, Australia tanpa sebarang jaringan dalam pusingan ke-3 Kelayakan Piala Dunia baru-baru ini.
Keputusan itu sekaligus menjadikan Indonesia mengumpul dua mata dalam dua perlawanan termasuk seri dengan Arab Saudi.
Tambahnya, prestasi cemerlang yang ditampilkan oleh anak-anak buah Shin Tae-yong turut mendapat mendapat respon positif.

“Beberapa negara perlu menerima bahwa mereka tidak lagi berada di tahap yang sama dengan kami (Indonesia),” komennya dalam satu hantaran di Instagram.
Indonesia kini menjadi satu-satunya pasukan dari Asia Tenggara yang berjaya melayakkan diri ke Pusingan ke-3 Kelayakan Piala Dunia 2026.
Terdahulu, bekas jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon mencadangkan agar Malaysia mengikuti jejak langkah Indonesia yang berjaya ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026.
Menurut jurulatih dari Korea Selatan itu, banyak perkara yang perlu diteliti semula dalam aspek pembangunan bola sepak negara khususnya mengembalikan semula Malaysia sebagai pasukan yang digeruni di Asia.
“Saya rasa kita perlu lakukan banyak perkara mengenai perkara ini (pembangunan bola sepak). Realitinya situasi bola sepak di Malaysia, saya dapat lihat bahawa ia agak sukar.
“Tetapi saya tidak tahu bagaimana untuk memperbaikinya kerana banyak perkara yang perlu diambil kira di sini.
“Tidak boleh nak bandingkan dengan Korea, Jepun kerana mereka mempunyai sistem yang sangat baik. Saya rasa kita perlu semak dan memperbaiki sistem kita untuk melahirkan bakat-bakat muda.
“Ia sangat penting dalam menghasikan bakat baru setiap tahun,” katanya.
Sumber: Suara.com