Sebuah helikopter jenis Eurocopter dan juruterbangnya yang dilaporkan hilang semalam telah ditemui selamat di lokasi nahas di Bidor pagi tadi.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menerusi kenyataan kepada pemberita serta hantaran ringkas di Facebook.
Beliau berkata pertemuan juruterbang itu disahkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM) yang ditugaskan untuk mencari dan menyelamat helikopter berkenaan.
“Syukur! Saya baru sahaja dimaklumkan oleh CAAM bahawa juruterbang helikopter yang terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur semalam telah ditemui selamat di lokasi nahas sekitar Bidor, pada jam 8.20 pagi hari ini.
“Setinggi penghargaan diucapkan kepada pasukan TUDM, PDRM, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta semua yang terlibat dalam operasi SAR ini.
“Ketika ini, pasukan penyelamat sedang berusaha untuk membawa juruterbang tersebut ke Hospital Ipoh untuk menerima rawatan,” maklumnya dalam kenyataan itu.
Berita penuh menyusul.
Keratan laporan semalamSemalam, Awani melaporkan sebuah helikopter hilang selepas terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) pada jam 12.16.
Ka Siong memaklumkan helikopter yang berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) Subang itu sepatutnya dijadualkan mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah Ipoh pada jam 12.37 tengah hari.
Namun, helikopter tersebut tidak menunjukkan kelibatan dan terputus hubungan dengan pihak KLATCC.
Sumber: Wee Ka Siong / Facebook