Seorang jururawat yang dipercayai anti-vaksin di Jerman dilaporkan telah menukarkan vaksin COVID-19 kepada larutan Saline (campuran garam & air) dan telah menyuntik seramai 8,600 orang.
Menurut siasatan polis, jururawat tersebut juga dikhuatiri telah memberi ribuan warga emas di Jerman utara suntikan palsu pada awal musim bunga ini.
Pihak berkuasa pada Selasa menggesa ribuan orang yang menerima suntikan pertama di pusat vaksinasi di Friesland untuk disuntik sekali lagi selepas menerima laporan tersebut.
Polis menyatakan bahawa suspek yang tidak disebutkan namanya itu pernah berkongsikan pandangan skeptikalnya terhadap vaksin di sosial media namun motifnya pada ketika itu belum diketahui lagi.
“Saya benar-benar terkejut dengan pembongkaran ini,” kata Sven Ambrosy, ahli majlis tempatan, di Facebooknya ketika pihak berkuasa tempatan mengeluarkan notis kepada sekitar 8,600 penduduk yang mungkin perlu divaksin semula.
Walaupun larutan Saline tidak merbahaya, kebanyakan orang yang mendapat vaksin di Jerman pada bulan Mac dan April – ketika kejadian ini berlaku – adalah orang tua yang berisiko tinggi terkena virus yang berpotensi membawa maut ini.
Penyiasat polis Peter Beer, menyatakan kepada media bahawa berdasarkan keterangan daripada saksi, terdapat “kecurigaan yang munasabah”.
Belum dapat dipastikan lagi sama ada suspek telah ditangkap atau didakwa bagi kes tersebut, namun menurut media NDR, suspek telah diserahkan kepada unit khas yang menyiasat jenayah bermotif politik.
Sumber: Daily Mail