Kredit: Google/The Conversation

Jumlah Kes COVID-19 Seluruh Dunia Kini Lepasi Angka 4 Juta, Kematian Lebih 200,000- Worldometer

Amira

Jumlah kes positif seluruh dunia dilaporkan mencecah 4,012,770 kes. Menurut data Worldometer, angka itu susulan pertambahan sebanyak 97,128 kes global dalam tempoh 24 jam semalam.

Kira-kira satu perempat dari keseluruhan kes COVID-19 terdiri daripada pesakit dari Amerika Syarikat dengan lebih 1.3 juta kes.

Angka itu disusuli Sepanyol (260,117), Itali (217,185) dan UK (211,364). Dari jumlah itu, sebanyak 78,615 kematian dicatatkan di Amerika Syarikat, 31,241 (UK), 30,201 (Itali) dan 26,299 (Sepanyol).

Sementara itu, seramai 1.38 juta individu dilaporkan sembuh dari virus itu secara global. Manakala angka korban global pula 276,215.

Menurut laporan terkini John Hopkins Bloomberg School of Public Health, satu kajian di New York mendapati hampir kesemua individu yang terdedah kepada COVID-19 menghasilkan antibodi kepada virus itu.

Ujian antibodi pada kumpulan penderma pertama untuk usaha terapi plasma pemulihan itu mendapati individu bersimptom ringan turut menghasilkan antibodi.

“Biarpun kewujudan antibodi tidak menjanjikan imuniti dan kajian itu masih belum disemak kumpulan pakar, ia merupakan sinar harapan bahawa hampir semua orang yang pernah sakit mengalami manfaat perlindungan tanpa mengira umur, jantina atau tahap keterukan penyakit,” tulis laman itu.

Tambah laporan itu, ujian ke atas 1,343 individu itu mempunyai kurang dari 1 peratus peluang menghasilkan positif palsu.

Ujian itu telah dibangunkan Profesor Florian Krammer, seorang pakar virus di Icahn School of Medicine at Mount Sinai (ISMMS), New York.

*Positif palsu bermaksud keputusan ujian yang silap tetapi ditunjukkan sebagai positif disebabkan oleh pengendalian ujian yang tidak sempurna

Sumber: Worldometer, John Hopkins Bloomberg School of Public Health, Dewan Bahasa Dan Pustaka