Jude Bellingham Sah Jadi Milik Real Madrid
Real Madrid pada hari ini dilaporkan telah mengesahkan pembelian pemain tengah England, Jude Bellingham dari Borussia Dortmund, lapor ESPN.
Pemain berusia 19 tahun itu telah menandatangani kontrak selama enam tahun di Bernabeu dan bakal mengadakan sidang media rasmi pada esok hari.
Awal bulan ini, Dortmund mengesahkan bahawa gergasi LaLiga itu telah bersetuju dengan perjanjian awal bernilai 103 juta pound (RM601 juta) untuk pemain muda tersebut.
“Terima kasih kepada semua di BVB dan kepada peminat untuk segala-galanya sepanjang tiga tahun lalu,” kata Bellingham dalam satu kenyataan.
“Ia adalah satu penghormatan untuk memakai jersi anda, dalam acara besar dan kecil. Walaupun saya menjangkakan yang terbaik di destinasi saya seterusnya, saya tidak akan melupakan perjalanan saya di sana. Sekali Borusse, sentiasa akan Borusse. Semoga yang terbaik untuk masa depan BVB,” tambah Bellingham.
Real Madrid berjaya merebut Bellingham daripada pasukan gergasi lain seperti Manchester City dan Liverpool
Pasukan Carlo Ancelotti itu berjaya menewaskan persaingan dari Manchester City dan Liverpool dalam perebutan kontrak Bellingham. Bellingham dikatakan merupakan salah satu prospek bola sepak Eropah yang paling hangat buat masa ini.
Selama tiga tahun di Jerman, Bellingham menjadi salah seorang pemain terbaik bagi Bundesliga dengan penampilan sebanyak 31 perlawanan liga pada musim ini. Beliau juga berjaya menjaringkan lapan gol dan menjadi kapten pasukannya.
BACA: 7 Bentuk Bantuan Kerajaan Untuk Golongan Belia, Ramai Yang Tak Tahu
Bellingham juga pernah bermain untuk England pada Piala Dunia 2022 di Qatar bagi kesemua lima perlawanan mereka.
Madrid telah melaksanakan dasar untuk menandatangani bakat baru muncul sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Pemilihan bakat itu termasuk pemain Vinicius Junior, Rodrygo Goes, Federico Valverde dan Camavinga yang kini dijadikan pemain utama pasukan itu.
Terdahulu, Karim Benzema mengesahkan tidak lagi bersama kelab dari Sepanyol itu bagi musim akan datang selepas kontraknya tamat pada bulan ini, lapor ESPN.
Dalam pada itu, pengumuman berkenaan turut dimaklumkan oleh pengurusan kelab dalam satu kenyataan rasmi pada 4 Jun lalu.
Sumber: Real Madrid, ESPN