JPV Perak Anjur ‘Program Pasar Daging’ Hari Ini, Ayam & Daging Dijual 35 Peratus Lebih Murah Dari Harga Pasaran

Edayu

Menjelang hari raya, sudah menjadi kebiasaan untuk umat Islam berbelanja lebih daripada hari-hari biasa sebagai persediaan untuk menyambut hari raya. Barang basah akan dibeli dalam kuantiti yang besar, untuk dimasak dan dihidangkan kepada tetamu yang datang berziarah.

Jadi, tak hairanlah jika ada mana-mana tempat atau pasar yang menawarkan jualan barangan murah, pasti ia akan mendapat sambutan hangat. Lebih-lebih lagi jika produk segar dari ladang seperti ayam dan daging dijual pada harga mampu milik atau tidak terlalu tinggi kenaikkannya berbanding di tempat-tempat lain.

Terkini, Jabatan Perkhidmatan Veterinar mengadakan ‘Program Pasar Daging’ yang menawarkan harga barangan basah yang dijual pada harga lebih murah berbanding harga pasaran. Program ini merupakan jualan tanggungjawab Sosial Koprat (CSR), Kluster Padang Ragut Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Perak 2022.

Dalam satu infografik yang dikongsikan oleh JPV ini menunjukkan jualan murah ini akan diadakan di Dataran Tapak Ekspo Bandar Universiti, Seri Iskandar pada 28 April (Khamis) jam 8 pagi hingga stok habis.

Harga yang dipromosikan adalah seperti berikut, daging lembu segar hanya RM35 sekilo, daging kerbau segar hanya RM37 sekilo, daging kambing segar pula RM55 sekilo dan ayam kampung asli bernilai RM18 sekilo. Selain itu, susu lembu segar dipromosikan dengan harga RM2 sebotol.

Menurut JPV, harga promosi 35 peratus lebih murah berbanding harga pasaran. Bagaimana pun, harga kawalan dan bekalan terhad sehingga stok habis.

Oleh itu, kepada penduduk di kawasan sekitar jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan barangan basah seperti daging dan ayam segar di Dataran Tapak Ekspo Seri Iskandar pada harga lebih murah daripada biasa.

Sumber: Jabatan Veterinar Negeri Perak