
SEREMBAN, 16 Okt — Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan mengeluarkan sejumlah 351 saman atas pelbagai kesalahan dalam Operasi Kenderaan Berat di Nilai, dekat sini.
Pengarah JPJ Negeri Sembilan Azrin Borhan berkata operasi yang diadakan selama tiga hari bermula Selasa lepas menumpukan pada kenderaan membawa barangan lebih muatan dan kesalahan lain di sekitar Nilai.
”Sebanyak 858 buah kenderaan perkhidmatan barangan telah diperiksa dan 44 buah daripadanya telah ditimbang, sejumlah 351 saman telah dikeluarkan ke atas kenderaan pengangkutan barang ini meliputi pelbagai kesalahan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Membawa muatan melebihi berat yang telah ditetapkan merupakan kesalahan di bawah Seksyen 57(1)(b)(vi) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 dan jika disabit kesalahan, boleh dikenakan denda iaitu tidak kurang daripada RM1,000 dan tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-dua sekali.
Beliau juga mengingatkan agar semua pengguna jalan raya termasuk pemandu dan pemilik kenderaan pengangkutan barang agar sentiasa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan agar pengguna jalan raya yang lain sentiasa selamat.
Seramai 58 pegawai dan anggota dari JPJ Negeri Sembilan terlibat dalam operasi berkenaan.
Sumber- BERNAMA