Jordan Bardella
Kredit: Jordan Bardella via X

Jordan Bardella Dilempar Telur Ketika Pelancaran Buku

Athirah

Jordan Bardella Dilempar Telur Ketika Pelancaran Buku

Ketua Parti Perhimpunan Kebangsaan di Perancis, Jordan Bardella dilapor telah dilempar telur pada kepalanya semalam, hanya beberapa hari selepas satu lagi insiden yang menyaksikan seorang penunjuk perasaan membaling tepung ke arahnya.

AFP melaporkan Bardella daripada parti berhaluan kanan itu berada di sebuah acara di Moissac, barat daya Perancis untuk mempromosikan buku terbaharunya apabila seorang individu memecahkan telur di kepalanya.

Pendakwa raya, Montauban Bruno Sauvage berkata, suspek yang merupakan seorang lelaki berusia 74 tahun, telah ditangkap dan ditahan kerana melakukan keganasan terhadap pegawai awam.

Dalam pada itu, satu aduan telah difailkan atas nama Bardella berhubung insiden itu.

Sebelum ini, seluruh tubuh badan Bardella yang juga Ahli Parlimen Eropah itu dipenuhi tepung semasa lawatan beliau ke pameran pertanian di Vesoul, timur Perancis pada Selasa lalu.

Polis menahan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun sebelum membebaskannya pada keesokan harinya, dan dia perlu menghadiri kursus kewarganegaraan.

“Semakin kita membuat kemajuan, semakin hampir kita dengan kuasa, semakin banyak keganasan daripada sayap kiri, sikap tidak bertoleransi, dan tindakan tidak berhemah dilepaskan

“Namun, kebebasan, kebanggaan nasional dan semangat patriotisme sedang bertiup di seluruh Perancis. Mereka tidak akan mampu menghentikannya,” tulis Bardella di platform X.

BACA: “Saya Redha…” Wanita Kongsi Keadaan Rumah Dinaiki Banjir Sehari Selepas Dapat Kunci

Sumber: AFP