
Hari ini, Pejabat Pentadbiran Pelancongan Taiwan KL secara rasmi melancarkan kempen 2024, “Jom Taiwan: Ride the Adventure”, dengan kerjasama pelukis terkenal Malaysia, Book of Lai, yang membawa sentuhannya ke sistem pengangkutan awam di Kuala Lumpur, sekaligus mencipta pengalaman perjalanan yang memukau sambil mempamerkan daya tarikan Taiwan!
Encik Chou Shih-Pi, Pengarah Pejabat Pentadbiran Pelancongan Taiwan KL, menyatakan bahawa dalam usaha menarik pelancong Malaysia untuk memilih Taiwan sebagai destinasi utama mereka menjelang akhir tahun 2024, Pentadbiran Pelancongan Taiwan telah menjemput Book of Lai, seorang pelukis ilustrasi terkenal Malaysia yang dikenali dengan warna-warna ceria, gaya penceritaan fantasi yang unik, serta rekaan yang diilhamkan daripada budaya rumah bergerak, untuk mereka bentuk iklan bertemakan “Jom Taiwan: Ride the Adventure”.
Iklan-iklan ini akan dipaparkan di Tengah-tengah kesibukan Monorel Kuala Lumpur dan stesen MRT Bukit Bintang, menonjolkan empat tema utama: “Jom Taiwan Makan-makan” (makanan), “Jom Taiwan Lihat-lihat” (pelancongan), “Jom Taiwan Main-main” (aktiviti menarik), dan “Jom Taiwan Rasa-rasa” (budaya).

Iklan-iklan ini mempersembahkan hidangan kulinari Taiwan, pemandangan indah, tarikan menyeronokkan, serta pengalaman budaya, membolehkan rakyat Malaysia merasai daya tarikan Taiwan walaupun sewaktu ulang-alik perjalanan harian mereka, sekaligus membangkitkan keterujaan dan rasa tidak sabar untuk melancong ke Taiwan.
Mengimbas kembali proses kreatif beliau, Book of Lai berkongsi: “Taiwan sentiasa menjadi salah satu destinasi kegemaran saya untuk melancong. Selain menikmati perjalanan santai, saya gemar melawat taman-taman budaya dan kreatif untuk mencari inspirasi bagi rekaan saya.”
Kali ini, Lai telah menyuntik sudut pandang beliau tentang Taiwan ke dalam hasil seninya, menampilkan kereta api Breezy Blue yang melalui terowong teh boba, gelongsor mi daging lembu, hutan dengan potongan ayam goreng, dan gunung sup dumpling. Beliau turut mengajak pelancong Malaysia untuk meneroka taman-taman bunga hydrangea, landskap bandar, aktiviti luar, pasar malam, dan Festival Tanglung Langit Taiwan.
Selain itu, Lai juga memasukkan watak-watak yang mewakili tiga kumpulan etnik utama Malaysia bersama rumah bergerak mini yang menjadi tanda tangan karyanya, menggalakkan para pelancong untuk merasai keramahan orang Taiwan, serta mengalami sendiri keindahan negara itu.
Untuk menarik rakan-rakan Muslim dari seluruh dunia untuk menikmati keindahan Taiwan, Taiwan sentiasa menambah baik kemudahan mesra-Muslimnya. Hab pengangkutan utama dan kawasan pelancongan negara tersebut kini dilengkapi dengan perkhidmatan mesra-Muslim, dan lebih 400 restoran serta hotel telah pun menerima sijil Halal.

Hasilnya, menurut “Crescent Rating – Global Muslim Travel Index (GMTI)” Mastercard 2024, Taiwan telah menduduki tempat ke-3 sebagai destinasi bukan OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam) terbaik, yang memperlihatkan kemudahan dan menunjukkan kesediaan menerima pelancong Muslim.
Dalam pada itu, Timbalan Wakil Pejabat Ekonomi dan Kebudayaan Taipei di Malaysia, Encik James Bu, menyatakan: “Pada bulan Mei tahun ini, Pentadbiran Pelancongan Taiwan melancarkan kempen penjenamaan versi 3.0 iaitu ‘Taiwan – Waves of Wonder’, bertujuan untuk mempromosikan pelancongan melalui tema Jelajahi Gunung-Ganang, Hargai Lautan dan Terokai Pulau.” (“Enjoy the Mountains, Embrace the Sea and Explore the Island”).
Dari Januari hingga Mei tahun ini, lebih 200,000 pelancong Malaysia telahpun melawat Taiwan, dengan peningkatan hampir 20% berbanding tempoh yang sama tahun lepas. Dengan kempen ‘Jom Taiwan: Ride the Adventure’, kami ingin menggunakan ilustrasi kreatif untuk memaparkan makanan, tarikan, dan budaya Taiwan, serta menjemput rakyat Malaysia merasai keramahan orang Taiwan.”

Bersempena dengan iklan bertema ‘Jom Taiwan: Ride the Adventure’, Pejabat Pentadbiran Pelancongan Taiwan KL turut melancarkan kuiz “Anda Pengembara Jenis Apa?”. Para peserta boleh mengetahui gaya pengembaraan ideal mereka di Taiwan dan berpeluang memenangi tiket penerbangan pergi-balik dari Kuala Lumpur ke Taiwan di samping pelbagai hadiah menarik lain, dengan berkongsi maklumat mereka untuk dihubungi.
Majlis pelancaran hari ini juga menampilkan Jack Tan, pelakon terkenal dari filem “Abang Adik”, dan pelakon Muslim Malaysia, Soffwany Yusoff, yang berkongsi pandangan mereka tentang Taiwan serta kisah-kisah menarik dari pengembaraan mereka.