Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur meminta orang ramai yang mengenali waris bayi lelaki berusia satu bulan untuk tampil memberikan maklumat.
Menerusi facebook rasmi Jkm Wpkl, bayi tersebut telah ditinggalkan di dalam pagar rumah orang awam di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur dalam keadaan bertali pusat sebelum dibawa ke Hospital Tunku Azizah untuk mendapatkan rawatan pada 14 Mei lalu.
JKM memohon agar mana-mana individu yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu mengesan ibu kandung atau waris agar mahkamah dapat membuat keputusan bagi penempatan dan kebajikan bayi tersebut yang kini diletakkan di bawah Pelindung Sementara.
PENCARIAN WARIS
NAMA : UNKNOWN BABY BOY
UMUR : 1 BULAN
JANTINA : LELAKI
PELINDUNG : PN ISNAWATI ABU BAKAR

Bayi lelaki ini telah dirujuk oleh Jabatan Kerja Sosial Perubatan, Hospital Tunku Azizah Kuala Lumpur kepada Pelindung pada 14.5.2020. Menurut maklumat awal yang diterima bayi ini telah ditinggalkan di dalam pagar rumah orang awam di alamat B-24 Jalan Lorong Rengas 2 Taman Kok Lian, Jalan Ipoh 51200 Kuala Lumpur.
Bayi yang masih bertali pusat ini kemudiannya telah dibawa ke Hospital Tunku Azizah untuk pemeriksaan. Setelah pemeriksaan lanjut dijalankan didapati bayi ini sihat dan telah didiscaj pada 18.5.2020.
Pelindung telah mendapatkan perintah jagaan sementara dari Mahkamah Bagi Kanak-Kanak Kuala Lumpur bagi membolehkan kanak-kanak ditempatkan sementara dalam jagaan Orang Yang Layak dan Sesuai sebelum mendapat perintah tetap pada 27.7.2020.
Sehubungan itu, jabatan ini memohon agar mana-mana individu yang mengenali waris kanak-kanak ini dapat menghubungi Pelindung kes ini iaitu Puan Isnawati ditalian 03-26124000 (sambungan 4078) untuk memberikan maklumat yang dapat membantu Jabatan mengesan ibu kandung atau waris kanak-kanak dan seterusnya membantu Mahkamah membuat keputusan terbaik bagi penempatan dan kebajikan kanak-kanak.
Sumber: JKM WPKL