Lebih 70 tahun berlalu sejak Perang Dunia Kedua berlaku. Namun, sekiranya Rusia menyerang Ukraine, ia dikatakan akan menjadi perang terbesar di Eropah selepas tahun 1945.
Untuk pengetahuan, Ukraine dan Rusia telah mengalami konflik sejak tahun 2014 dan ia sedikit demi sedikit menambahkan ketegangan antara kedua negara itu.
Menurut Profesor dalam bidang Sains Politik Universiti California, Erik Gartzke, keadaan mungkin akan setanding perang dunia sekiranya Presiden Rusia, Vladimir Putin bertindak memberi arahan menyerang Ukraine.
“Rakyat Ukraine dalam ketegangan setiap hari dan sebahagian kawasan di negara mereka telah pun diceroboh tentera Rusia,” katanya memetik laporan CBS8.
Gambar: The GuardianRusia bakal berdepan akibat buruk jika serang Ukraine
Jelas wakil Amerika Syarikat (AS), Sara Jacobs yang terlibat dalam delegasi AS -Ukraine, Rusia mungkin berdepan implikasi yang serius jika menyerang Ukraine kerana perpaduan antara sekutu Eropah sangat kuat.
“Perpaduan negara-negara sekutu Eropah sangat kuat. Jelas akan ada akibat buruk jika Vladimir Putin memutuskan untuk menyerang Ukraine,” ujarnya.
Semasa bertemu Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky ketika lawatannya ke negara itu, Jacobs mengatakan bahawa Zelensky sedar akan kemungkinan serangan dari pihak Rusia.
“Sebahagian dari bentuk penentangan mereka (Ukraine) terhadap Putin adalah dengan bertahan dan tidak membenarkan campur tangan Putin dalam kehidupan seharian mereka,” jelas Jacobs memetik laporan CBS8.
Gambar: NPRPresiden AS, Joe Biden sudah pun mengerah 3,000 tentera tambahan ke Poland di mana lebih 1,700 tentera dalam perjalanan ke sana.
Tentera AS juga telah memindahkan 1,000 tentera mereka dari Jerman ke Romania, di mana kedua-dua negara itu berkongsi sempadan dengan Ukraine. Pun begitu, usaha mereka sepertinya tidak membuat pasukan Putin berundur.
Tak yakin Putin bakal lancar serangan
Menurut Profesor Gartzke, Putin sepertinya telah merancang strategi secara mendalam, namun dia tidak yakin Putin akan betul-betul melancarkan serangan.
“Dia (Putin) terlalu mendalam merancang strategi, tak mustahil untuk dia kemudiannya rasa malu dikalahkan.
“Saya tak rasa dalam situasi Putin, dia mampu melakukannya (menyerang Ukraine),” jelas Profesor Gartzke.
Kini, Pentagon dikatakan telah memindahkan sebahagian pasukan tentera mereka dari Ukraine dan rakyat AS yang tinggal di sana juga digesa untuk keluar dari negara tersebut.
Sumber: CBS8