TOKYO, 24 Jan (Bernama) — Kerajaan Jepun mengingatkan rakyatnya yang kini berada di Ukraine supaya bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan dan mengambil langkah berjaga-jaga berikutan perkembangan di negara itu, lapor Sputnik.
“Kami terus memantau dengan teliti perkembangan keadaan di Ukraine dengan kerjasama negara-negara yang berminat. Kami bercadang untuk mengambil keputusan yang perlu tanpa berlengah-lengah. Kami menggesa rakan senegara kami yang berada di sana supaya bersedia untuk sebarang perubahan keadaan dan mengambil semua langkah yang mungkin untuk keselamatan mereka,” kata Ketua Setiausaha Kabinet Jepun Hirokazu Matsuno semasa taklimat pada Isnin.
Jabatan Negara AS pada Isnin mengemas kini nasihat perjalanannya untuk Rusia, memberi amaran terhadap perjalanan ke Rusia berikutan ketegangan di sempadannya dengan Ukraine.
Ia juga menasihatkan warga AS di Ukraine untuk meninggalkan negara itu menggunakan pengangkutan komersial, membenarkan pelepasan sukarela pekerja yang diupah terus AS, dan mengarahkan keluar ahli keluarga yang layak dari kedutaan di Kyiv di tengah-tengah kebimbangan keselamatan.
Negara-negara Barat menuduh Rusia menempatkan tentera berhampiran sempadan Ukraine sebagai persediaan untuk “tindakan agresif.”
Moscow berulang kali menafikan tuduhan itu, sebaliknya menuding kepada aktiviti ketenteraan NATO berhampiran sempadan Rusia, yang dianggap sebagai ancaman kepada keselamatan negaranya.
Rusia juga mengesahkan ia mempunyai hak untuk menggerakkan pasukan tentera dalam wilayahnya sendiri dan mengemukakan cadangan keselamatan kepada AS dan NATO, yang masih belum diterima.
Sumber: BERNAMA