percubaan roket jepun h3 gagal
Kredit: AFP

Jepun Gagal Lancar Roket Kali Kedua, Terpaksa Dimusnahkan

Jepun Gagal Lancar Roket Kali Kedua, Terpaksa Dimusnahkan

Percubaan Jepun untuk melancarkan roket H3 terbaharunya buat kali kedua gagal pada Selasa, lapor AFP.

Kegagalan tersebut memaksa Agensi Angkasa Jepun, JAXA mengeluarkan arahan pemusnahan selepas menyimpulkan misi tersebut tidak akan berjaya.

Ia memberi tamparan hebat kepada negara tersebut yang sebelum ini mendakwa roket tersebut sebagai roket flagship yang fleksibel dan jimat kos.

Menurut AFP lagi, pelancaran yang berlangsung di Pusat Angkasa Tanegashima pada awalnya menunjukkan tanda-tanda akan berjaya. Roket berkenaan dilancarkan dari tapak pelancaran kira-kira 10.37 pagi, waktu tempatan.

Pemisahan tahap pertama juga berjalan mengikut perancangan, namun tanda-tanda masalah mula kelihatan tidak lama kemudian.

“Nampaknya, halaju roket ini mula berkurang. Pencucuhan enjin tahap kedua tidak dapat dipastikan. Situasi sedang dikenal pasti,” kata jurucakap dalam sesi siaran langsung JAXA, ketika roket berkenaan berada 300 kilometer dari permukaan.

Jepun gagal lancar roket H3 kali kedua

Siaran langsung kemudian terhenti seketika dengan pesanan “Kami sedang memeriksa keadaan terkini. Sila tunggu sebentar.”

Bagaimanapun, siaran langsung yang bersambung semula mengesahkan situasi buruk berlaku.

”Arahan pemusnahan telah dihantar ke H3 kerana tiada sebarang kebarangkalian bahawa misi ini akan berjaya,”.

Setakat ini, tiada penerangan rasmi mengenai punca kegagalan pelancaran tersebut. JAXA dijangka bakal mengadakan sesi sidang media tidak lama lagi.

Roket H3 dibangunkan Jepun untuk tujuan komersial dengan kekerapan pelancaran lebih tinggi. Ia juga didakwa lebih fleksibel dan memiliki kos operasi yang efektif serta dianggap sebagai pencabar kepada roket SpaceX Falcon 9.

Roket tersebut dibangunkan oleh Mitsubishi Heavy Industries, dan menjadi model susulan selepas model H-IIA yang mula dilancarkan pada 2001.

Terdahulu, pelancaran pertama bagi roket berkenaan telah ditangguhkan selama beberapa tahun dan gagal dilancarkan pada percubaan pertama pada bulan lepas.

Kegagalan percubaan pelancaran pertama disebabkan penggalak pejal roket pepejal tidak dapat dinyalakan pada hari kejadian.

BACA: Ikut Laluan Hijrah Nabi, Lelaki Jalan 500km Dari Mekah Ke Madinah

BACA: Restoran Tawar ‘Menyu Rahmah’, Ubati Luka Peminat MU

Sumber: AFP