Sebarang upacara keagamaan dan pengurusan jenazah hanya dilakukan di atas beg mayat pesakit COVID-19.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, hanya tayammum dibenarkan di atas permukaan beg jenazah pesakit beragama Islam.
Kaedah ini serupa dengan pengurusan jenazah mangsa Ebola suatu ketika dahulu sepertimana pernah dikongsikan oleh mufti sebelum ini.
“Tatacara tersebut merangkumi pengurusan jenazah Islam di mana hanya dibenarkan untuk bertayamum di atas permukaan beg jenazah manakala bagi mayat bukan Islam, apa-apa upacara keagamaan atau tradisi hanya dilakukan atas beg mayat,” katanya dalam sidang media sebentar tadi.
Prosedur itu bertepatan dengan penemuan bedah siasat di mana terdapat virus pada permukaan badan dan cecair badan mayat.
“Institut perubatan Forensik negara telah menjalankan bedah siasat ke atas satu mayat COVID-19.
“Bedah siasat mendapati terdapat virus COVID-19 dikesan pada permukaan badan mayat melalui analisa real-time polymerase chain reaction (PCR) yang dilakukan oleh Institut Penyelidikan Perubatan.
“Virus juga dikesan dalam organ dalaman, air kencing dan juga cecair badan,” katanya.
Penemuan ini dipersetujui mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia serta Majlis rundingan Malaysia agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoism.
Sumber: KKM