
Jemaah Umrah Meninggal Dalam Pesawat, Sempat Berwuduk Untuk Solat Subuh
Bagi seorang Muslim, menjejakkan kaki ke Tanah Suci adalah impian seumur hidup. Ia bukan sekadar perjalanan fizikal, tetapi perjalanan yang dipenuhi dengan keinsafan dan harapan.
Namun, takdir Allah SWT tidak dapat kita jangkakan, ada yang pergi tidak kembali dan ada yang kembali dalam keadaan tidak lagi sama.
Baru-baru ini, tular mengenai seorang jemaah wanita yang meninggal dunia ketika dalam perjalanan pulang dari melaksanakan ibadah umrah.
Jamilah Yusoff, 73, menghembuskan nafas terakhir semasa di dalam kapal terbang.
Anak arwah, Amira Yusoff berkata ibunya ketika itu sedang menunggu untuk solat Subuh dan berada dalam keadaan berwuduk.
"Mak saya pulang dari Madinah, dah bersiap-siap wuduk untuk tunggu solat Subuh, bila kejutkan arwah, arwah dah tiada," ujarnya kepada SK.

Lebih memilukan, Amira sebenarnya dalam perjalanan dari Port Dickson ke lapangan terbang Kota Bharu, Kelantan untuk menyambut ketibaan ibunya, namun yang pulang hanya sekujur tubuh yang kaku.
Menurutnya, arwah telah selamat dikebumikan di Kampung Seribong Kota Bharu.
Terdahulu, perkongsian duka yang dimuat naik oleh seorang pengurus jenazah di TikTok, @lauk53banyak, membuatkan ramai sebak.
Menerusi perkongsian itu, arwah dikatakan selesai menjalani umrah bersama 40 jemaah yang lain.
"Semasa buat umrah Allah bagi kesihatan yang baik dan boleh menziarah semua tempat, semasa atas kapal terbang masuk waktu subuh, arwah mengambil wuduk untuk solat Subuh.
"Tetapi Allah sayangkan arwah yang meninggal dalam keadaan berwuduk atas kerusinya.
"Bawa jenazah ke Hospital Cyberjaya dan saya uruskan mandi kapan bawa balik ke Kelantan untuk dikebumikan," katanya.