
Jemaah Haji China Bersihkan Kawasan Sekitar Mekah, Raih Pujian Ramai
Di sebalik kesibukan musim haji yang mempertemukan jutaan umat Islam dari seluruh dunia di kota suci Mekah, satu tindakan mulia telah mencuri perhatian ramai.
Dalam satu video yang kini tular, sekumpulan jemaah haji dari China jadi sorotan apabila secara sukarela membersihkan kawasan di sekitar kota suci Mekah.
Menerusi video itu, kelihatan mereka mengenakan vest khas dan bekerjasama umpama satu pasukan sukarelawan.
Ada yang memungut sampah, manakala yang lain membawa beg plastik untuk mengutip dan menguruskan sisa buangan.
Susulan itu, tindakan mulia jemaah China ini mendapat pujian daripada netizen seluruh dunia, khususnya umat Islam.
Ramai yang mendoakan agar Allah SWT membalas kebaikan mereka dan memuji semangat hormat mereka terhadap tanah suci Mekah.
Dalam pada itu, pihak berkuasa Mekah memaklumkan bahawa mereka telah bersiap sedia sepenuhnya untuk menerima kedatangan ratusan ribu jemaah haji dari seluruh dunia.
Menurut pihak perbandaran kota itu, lebih 25,000 kakitangan bertugas dikerahkan dalam pelan komprehensif bagi memastikan kelancaran urusan dan kebersihan sepanjang musim haji.
Pelan tersebut turut dibantu oleh lebih 1,460 unit peralatan canggih termasuk mesin penyapu, jentera pembersih dan pam air untuk menjaga kebersihan dan keselesaan seluruh kawasan ibadah.
BACA: Doktor Kongsi Lelaki Muda Sesak Nafas Sangat Teruk, Dada Kiri ‘Sunyi’
Sumber: Gulf News