jdt lumba motosikal
Gambar hiasan: Bernama

JDT Ceburi Sukan Lumba Motosikal, Disertai Hafizh Syahrin 

Sofea

JDT Ceburi Sukan Lumba Motosikal, Disertai Hafizh Syahrin

Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) semakin melebarkan sayapnya apabila akan menceburi sukan perlumbaan motosikal tidak lama lagi.

Menerusi kenyataan Johor Southern Tigers di laman X, JDT Racing Team bakal dimantapkan dengan pelumba terkenal negara, Hafizh Syahrin sebagai pelumba pasukan tersebut.

Sebagai permulaan, kelab itu akan bertanding dalam Asia Road Racing Championship sebelum bersaing dalam Superbike World Championship.

Difahamkan, usaha itu dilakukan bagi memastikan jenama JDT terus unggul dan berkembang bukan sahaja di negara ini tetapi juga di peringkat antarabangsa.

“Jenama JDT telah pun menceburi bidang futsal, polo, tinju dan hoki ais.

“Usaha terbaharu ini ditetapkan untuk memasarkan lagi jenama JDT kepada masyarakat global dan membuka lebih banyak pintu kepada kerjasama antarabangsa,” kata Johor Southern Tigers.

Kenyataan itu juga dikongsikan bersama sekeping gambar yang menyaksikan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim bersama Hafizh Syahrin.

Mereka memegang helmet dipercayai sebagai simbolik penyertaan Hafizh sebagai pelumba kelab itu.

Terdahulu, JDT mengesahkan bakal menjalinkan kerjasama dengan IKEA Tebrau dan Pusat Beli-Belah Toppen.

Kerjasama itu bertujuan untuk menyemarakkan minat terhadap bola sepak dan memperkukuh hubungan komuniti dalam persekitaran bola sepak di Johor.

Selain itu, pusat beli-belah Toppen juga bakal menjadi destinasi kepada penyokong kelab yang khusus di atas bumbung terbuka pusat beli belah tersebut.

BACA: JDT Jalin Kerjasama Dengan IKEA Dan Pusat Beli Belah Toppen

Sumber: Johor Southern Tigers