JDN Luncur Segmen Bukan Warganegara Portal MyGovernment, “Portal RAI”
Jabatan Digital Negara (JDN) di bawah Kementerian Digital telah melancarkan Portal RAI sebagai inisiatif terbaharu bagi memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan digital kerajaan kepada bukan warganegara Malaysia.
Majlis pelancaran yang berlangsung di Balai Perlepasan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu telah disempurnakan oleh Menteri Digital, YB Gobind Singh Deo.
“Portal RAI boleh diakses melalui laman www.rai.malaysia.gov.my telah dibangunkan di mana maklumat dan perkhidmatan digital telah diselaraskan mengikut tujuan individu yang mengakses portal.
“Keseluruhan portal yang mesra pengguna dan intuitif ini, memanfaat penggunaan teknologi terkini seperti reka bentuk responsif, pencarian pintar, personalisasi dan topik panduan.
“Pelawat portal juga boleh mendapatkan maklumat dan perkhidmatan berdasarkan tujuan utama mereka iaitu; prosedur kemasukan, pelancongan, melanjutkan pelajaran, pengurusan kehidupan di Malaysia, prosedur pekerjaan dan pelaburan di Malaysia.
“Portal RAI bertindak sebagai platform utama untuk memaparkan kelebihan dan keunikan Malaysia kepada khalayak antarabangsa, seterusnya memperkasakan imej negara di mata dunia,” jelas JDN dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, peluncuran ini turut diserikan dengan sesi demonstrasi langsung penggunaan portal dan pameran digital oleh agensi-agensi yang menyediakan perkhidmatan kepada bukan warganegara.
Majlis berkenaan turut disiarkan secara langsung di platform media sosial rasmi JDN.
Inisiatif ini selaras dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dan sokongan terhadap kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
Portal RAI dijangka memainkan peranan penting dalam mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelancong, pelabur dan tenaga kerja antarabangsa, sekali gus memperkukuhkan daya saing dan imej negara di persada global.


BACA: Malaysia Melonjak 11 Anak Tangga Dalam Laporan Penarafan Daya Saing Dunia 2025
BACA: Kerajaan Pantau Konflik Di Iran Sebelum Putuskan Untuk Bawa Pulang Rakyat Malaysia – PM
BACA: WCR 2025: Lonjakan Membanggakan Malaysia Bukti Reformasi Kerajaan MADANI Berhasil – PM Anwar
Sumber: JDN