Menteri Ekonomi Mohd Rafizi Ramli berpendapat Perdana Menteri (PM) dilihat sesuai menjawat jawatan menteri kewangan dengan kerajaan gabungan yang dibentuk pada ketika ini.
Rafizi yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata keputusan sukar tersebut dibuat sejurus melihat situasi kerajaan buat masa ini.
“Kalau ikut pandangan saya secara idealnya kita pisahkan jawatan menteri kewangan dan jawatan perdana menteri dan pendirian itu tidak berubah.
“Saya tidak berpendapat bahawa hanya kerana keadaannya sekarang ini mendesak dan kita kena ambil pendirian itu, itu tidak bermakna bahawa itu perlu diteruskan.
“Kita berada dalam keadaan tidak ada mana-mana parti yang boleh membentuk kerajaan dan perlu bergabung, pada masa yang sama juga kita perlukan kepimpinan ekonomi yang kuat dan menjadi teras kepada program kerajaan,” katanya.
Ujarnya, keputusan perdana menteri memegang portfolio menteri kewangan adalah satu keputusan sukar, tambahan pula apabila melihat situasi posisi itu bakal ‘direbut’ oleh dua pihak berbeza.
Rafizi memberi contoh mudah dengan mengatakan jika jawatan menteri kewangan itu dipegang oleh Pakatan Harapan (PH), maka ia akan menjadi masalah kepada Barisan Nasional (BN) dan begitu juga sebaliknya.
Justeru keputusan terbaik yang perlu dibuat Anwar selaku perdana menteri kepada sebuah kerajaan gabungan dua parti besar adalah memegang posisi menteri kewangan berkenaan.
“Pada pandangan saya, itu satu keputusan yang sangat sukar yang telah diambil, kerana bila kita ada gabungan-gabungan yang masing-masing membentuk kerajaan, sudah tentu setiap komponen mahu jawatan menteri kewangan itu berada di pihak mereka.
“Oleh kerana it is an extradiordinary situation now, maka keputusan itu bagi saya sesuai buat masa sekarang, iaitu senang PM yang jadi menteri kewangan supaya ia tidak timbul isu tentang gabungan yang berbeza.
“Dan saya harap kita terus ke depan. Keadaan sekarang luar biasa,” katanya dalam satu sidang media di Putrajaya pagi tadi.
Sumber: Awani