Terkenal sebagai salah satu negara paling cekap mengendalikan koronavirus, Korea Selatan tidak menjadikan wabak itu sebagai penghalang untuk terus mengadakan ujian bagi individu yang memohon pekerjaan.
Menurut Irish Times, sebuah syarikat awam di Ansan, Korea Selatan telah mengadakan peperiksaan di stadium bola bagi menjaga jarak sosial antara calon.
Setiap calon dipisahkan dengan jarak sejauh kira-kira lima meter bagi mengelakkan penularan COVID-19 dalam kalangan mereka.
Malah, mereka turut disaring melalui pemeriksaan suhu badan sebelum memasuki lapangan peperiksaan tersebut.
Lebih seratus orang pemohon memakai penutup muka telah menyertai ujian kelayakan berkenaan.
“Agak pelik mengambil peperiksaan sambil melihat rumput. Ia memang diluar kebiasaan,” ujar salah seorang calon, Ha Eun Sang ketika ditemubual wartawan.
Biarpun dilanda wabak, Korea Selatan tidak mengenakan sekatan perintah berkurung ke atas rakyatnya.
Menurut Sciencemag.org, seorang pakar penyakit berjangkit di Universiti Korea, Kim Woo Joo berkata, “Korea Selatan merupakan republik demokratik. Kami rasakan perintah berkurung bukan pilihan yang munasabah.”
Kerajaan negara itu telah melaksanakan sistem kesan, uji dan rawat bagi mengenalpasti individu yang berisiko dijangkiti COVID-19 dalam negaranya.
Setakat ini, seramai 10,426 dari setiap sejuta rakyatnya telah menjalani ujian COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhan individu diuji seramai 534,552 orang.
Dari jumlah tersebut, 10,591 kes adalah positif COVID-19 dengan 225 kematian.
Kredit: Google
Kredit: Lad Bible/Yonhap
Kredit: World Updates
Kredit: Your Valley
Kredit: Lad Bible/Yonhap
Kredit: Lad Bible/Yonhap
Kredit: Republic WorldSumber: Irish Times, Lad Bible, Worldometer