Jangan Terlepas Kemuncak Hujan Meteor Geminids 14 & 15 Disember Ini
Berita baik buat peminat astronomi di Malaysia apabila fenomena Hujan Meteor Geminids dilapor akan berlaku pada malam ini.
Perkara berkenaan dimaklumkan oleh Planetarium Malaysia dalam satu hantaran facebooknya semalam.
Menurut hantaran itu, Hujan Meteor Geminids dijangka berlaku pada 4 Disember sehingga 20 Disember 2023.
“Rakyat Malaysia berpeluang menyaksikan fenomena Hujan Meteor Geminids pada waktu malam dari 4 hingga 20 Disember 2023.”
Selain itu, fenomena ini dijangka akan mencapai pada tahap kemuncaknya pada hari ini (14 Disember 2023) bermula jam 9.00 malam.
Waktu kemuncak itu kemudian berlanjutan sehingga awal pagi keesokkan harinya iaitu pada Jumaat (15 Disember 2023).
“Hujan Meteor Geminids ini akan mencapai maksimum dengan kadar 120 meteor sejam atau 2 meteor seminit pada Khamis 14 Disember 2023, jam 09:00 malam sehingga menjelang awal pagi 15 Disember 2023,” kata Planeterium Negara.
Dalam pada itu, Planetarium turut memberikan tip dan nasihat kepada orang ramai yang ingin menyaksikan fenomena ini secara jelas.
Orang ramai dinasihatkan untuk memilih kawasan yang gelap dan jauh dari kawsan yang memiliki banyak sumber cahaya untuk dijadikan sebagai tempat pemerhatian.
“Bagi yang ingin memerhatikan fenomena hujan meteor ini perlu ke kawasan yang gelap dan jauh dari pencemaran cahaya.”
Bukan itu sahaja, pihak tersebut turut memberikan panduan berkenaan lokasi pancaran meteor-meteor berkenaan.
“Pusat pancaran meteor-meteor tersebut datangnya dari buruj Gemini yang terletak di langit sebelah Utara.”
Hujan Meteor Geminids merupakan fenomena yang sering dinantikan setiap tahun
Berdasarkan perkongsian Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), fenomena Hujan Meteor Geminids berlaku setiap tahun apabila Bumi beredar mengelilingi Matahari merentasi laluan orbit asteroid 3200 Phaethon.
Pada asalnya, asteroid 3200 Phaethon ini dikenali sebagai 1983 TB. Untuk makluman, nombor 1983 pada nama asal asteroid berkenaan merujuk kepada tahun ia ditemui.
Asteroid ini telah ditemui oleh Simon Green dan John Davis melalui imej yang berjaya dirakam menerusi Infrared Astronomical Satellite (IRAS) pada 11 Oktober 1983.
Manakala, pemberian nama baharu iaitu, 3200 Phaethon pula terhadap asteroid berkenaan berlaku pada dua tahun selepas penemuannya buat kali pertama.
Selain Malaysia, CNN Indonesia melaporkan bahawa Indonesia turut mengalami fenomena angkasa tersebut pada waktu yang sama.
BACA: Bukan Puncak Everest, Rupanya Ini Lokasi Paling Dekat Dengan Angkasa Lepas
Sumber: Planetarium Negara via Facebook. MYSA & CNN Indonesia